Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin menyampaikan baucar Jom Shopping sempena Aidilfitri kepada salah seorang penerima di Pasaraya Best Mart, Pasir Penambang. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Permatang selesai agih baucar beli-belah Aidilfitri

KUALA SELANGOR, 24 APRIL: Baucar beli-belah sempena Aidilfitri kepada 500 keluarga kurang berkemampuan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang selesai diagih minggu lalu.

Wakil rakyatnya Rozana Zainal Abidin berkata kebanyakan penerima sudah menebus baucar bernilai RM100 dengan membeli barang keperluan raya di Pasaraya Best Mart, Pasir Penambang.

“Penerima terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan mereka yang tidak pernah menerima Kasih Ibu Smart Selangor (KISS)

“Kita minta mereka terus membeli barang keperluan semasa agihan dibuat bagi mengelak baucar tersebut hilang. Jika berlaku, agak sukar untuk kita bantu walaupun nilainya RM100,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jualan Prihatin Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di pekarangan pusat khidmat masyarakat (PKM) Permatang dekat sini semalam.

Pada masa sama Rozana mempelawa mana-mana penduduk yang memerlukan bantuan untuk tampil ke PKM.

“Mereka boleh maklumkan apa keperluan. Kita juga sudah menyediakan beg makanan asas untuk diagihkan,” katanya.

Sebanyak RM3.34 juta diperuntuk Kerajaan Negeri untuk agihan baucar beli-belah sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang memanfaatkan 33,400 ketua isi rumah B40.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan B40 sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

 


Pengarang :