Orang ramai membeli barang keperluan asas menerusi program Jualan Prihatin Rakyat anjuran PKPS di Taman Jenaris, Kajang pada 17 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINIOTHMAN/SELANGORKINI
ADNAGENDABERITA UTAMASELANGOR

DUN Semenyih sedia 100 kupon diskaun, bantu penduduk beli barang lebih murah

KAJANG, 17 APRIL: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menyediakan 100 keping kupon diskaun 50 peratus kepada penduduk yang hadir ke jualan prihatin rakyat.

Pengurus DUN Semenyih Nor Zulaila Abd Ghani berkata sebelum ini pihaknya mengadakan pendaftaran awal supaya penduduk dapat menikmati diskaun pada jualan murah itu.

“Mereka yang sudah mendaftar boleh datang dan menikmati diskaun 50 peratus. Contohnya mereka membeli RM100 tetapi hanya perlu membayar RM50 dan selebihnya dibayar oleh pusat khidmat.

Pengurus DUN Semenyih, Nor Zulaila Abd Ghani. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Antara barangan yang laris pada program jualan prihatin ini adalah telur, ayam dan daging,” katanya ketika ditemui pada program Jualan Prihatin Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di tapak aktiviti Persatuan Penduduk Taman Jenaris hari ini.

Beliau berkata program jualan murah berkenaan amat membantu masyarakat dalam mengurangkan bebanan perbelanjaan.

Program Jualan Prihatin Rakyat diadakan setiap hujung minggu di 62 kawasan di seluruh negeri bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100 kilogram (kg) daging segar, 6,200 kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B dijual sepanjang program berkenaan.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).


Pengarang :