Ketua Pegawai Eksekutif The Ocean Cleanup Boyan Slat (tengah), memberi penerangan berkenan jentera interceptor yang berfungsi sebagai perangkap sampah kepada EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim (tiga, kiri) turut sama Pengasas #SayNo2Palstic, Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua, kanan) dan Ketua pegawai Eksekutif, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Norita Mohd Sidek (kanan) ketika Sesi Lawatan jentera perangkap sampah Interceptor 005 di Sungai Klang, Klang pada 4 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Empat PBT pasang perangkap sampah, kurangkan kutipan sisa dari Sungai Klang

KLANG, 4 APRIL: Empat pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini akan memasang perangkap sampah (log boom) di sepanjang laluan Sungai Klang bagi mengurangkan kutipan sisa kepada 500 tan metrik sebulan tahun ini berbanding 850 tan metrik pada 2021.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata projek pemasangan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Klang dijangka bermula dalam tempoh tiga bulan lagi.

Ir Izham Hashim menjelaskan perkara itu sudah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Perundingan Gerbang Maritim Selangor (SMG) baru-baru ini, namun menunggu dimuktamadkan PBT berkaitan.

“PBT akan laksana (pemasangan) manakala kita akan pantau dari segi spesifikasi dan kaedah memandangkan kita mempunyai banyak pengalaman mengurus Sungai Klang.

“Melalui usaha ini, PBT dapat memerangkap sampah dengan lebih awal sebelum masuk ke Sungai Klang,” katanya kepada pemberita selepas menyelusuri Sungai Klang dan meninjau jentera Interceptor 005 di Taman Awam Pangkalan Batu di sini hari ini.

Selain Ir Izham, lawatan ke Interceptor 005 dari Pangkalan Batu sejauh kira-kira 17 kilometer(km) turut disertai puteri Sultan Selangor Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Boyan Slat.

Sementara itu, Ir Izham berkata kerja pengorekan sungai berkenaan juga akan bermula dalam tempoh sama dengan menelan perbelanjaan antara RM500 hingga RM700 juta yang dibiayai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Korekan (Sungai Klang) akan dibuat sehingga ke Kuala Lumpur. (Langkah ini) bukan setakat membantu pengurusan air banjir tetapi pengurusan ekopelancongan dan pelayaran.

“Banyak lagi usaha perlu dibuat memandangkan sungai ini antara tiga sungai terpenting di Selangor,” katanya menambah sebanyak 77,389 tan metrik sampah berjaya dikeluarkan dari Sungai Klang sejak 2016 hingga tahun lepas.


Pengarang :