EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berucap dalam Sesi Dialog Aspirasi Pembangunan Industri Halal Selangor Bersama SME dan Majlis Iftar Ramadan di Foyer SUK Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) Shah Alam pada 15 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Jangan naikkan harga ayam menjelang Aidilfitri, bebankan pengguna

SHAH ALAM, 16 APRIL: Peniaga ayam di Selangor diingatkan supaya tidak menaikkan harga menjelang Aidilfitri bagi mengelak pengguna terbeban.

EXCO Hal Ehwal Pengguna Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pihaknya menerima aduan daripada beberapa penternak yang mendakwa harga makanan ayam mahal ketika ini berikutan kebanyakan bahan diimport dari luar negara.

“Jadi dengan kenaikan harga bahan ini, mereka tiada pilihan selain menaikkan harga ayam (dari ladang).

“Saya berharap mereka tidak menaikkan harga terlalu tinggi kerana akan membebankan pengguna,” katanya selepas sesi Dialog Aspirasi Pembangunan Industri Halal Selangor bersama pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta Iftar Ramadan di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.

Dalam pada itu Mohd Zawawi berkata pihaknya akan sentiasa berhubung dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengetahui harga semasa ayam ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, permintaan ayam sepanjang Ramadan sangat tinggi dan dijangka meningkat beberapa hari sebelum Aidilfitri.

“Bagaimanapun, penetapan harga ayam secara berpusat tertakluk di bawah kuasa kerajaan persekutuan,” katanya.

Semalam, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memaklumkan mengadakan mesyuarat dengan KPDNHEP untuk membincangkan isu harga ayam meliputi aspek kenaikan kos pengeluaran, subsidi dan harga siling jualan.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata subsidi bagi setiap seekor ayam, iaitu 60 sen yang diberikan kerajaan pusat ketika ini hanya baik untuk tempoh dua bulan ini sahaja.


Pengarang :