Exco Infrastruktur Ir Izham Hashim (kanan) bersama Pengasas #SayNo2Palstic Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua, kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek (tiga, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif The Ocean Cleanup, Boyan Slat (tiga, kanan) ketika sesi lawatan jentera perangkap sampah Interceptor 005 di Sungai Klang, Klang pada 4 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Pembersihan Sungai Klang dipergiat, tingkat kualiti air

KLANG, 4 APR: Pembersihan Sungai Klang akan terus dipergiat bagi meningkatkan bacaan indeks kualiti air (WQI) sungai utama negeri ini, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Ir Izham Hashim berkata langkah itu bagi memastikan kelancaran pelaksanaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau yang dijangka siap pada 2025.

Menurutnya, pada 2016 WQI sungai berkenaan pada kelas lima iaitu sangat tercemar tetapi sekarang dalam kelas tiga atau lebih baik iaitu 48 peratus hasil pemasangan perangkap sampah di bawah projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) yang dilengkapi Interceptor.

“Kita mahu tingkatkan lagi kepada 70 peratus atau kekal pada kelas tiga dalam masa dua tahun lagi atau sekurang-kurangnya 90 peratus untuk tempoh lima tahun akan datang.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas sesi lawatan jentera perangkap sampah Interceptor 005 di Sungai Klang, Klang pada 4 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ini suatu usaha yang sukar namun ia banyak membantu memandangkan bekalan air dari Sungai Klang akan digunakan dalam projek LRA Sungai Rasau,” katanya kepada pemberita selepas menyelusuri Sungai Klang ke Interceptor 005 di Taman Awam Pangkalan Batu di sini hari ini.

Hadir sama Pengasas kempen #SayNo2Plastic Malaysia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek, Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd Syaiful Azmen Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif The Ocean Cleanup Boyan Slat.

Sementara itu, Ir Izham berkata setiap fasa pelaksanaan projek LRA Sungai Rasau berupaya memproses 700 juta liter air sehari kepada pengguna di wilayah Klang.

Menurutnya, sasaran fasa pertama projek berkenaan (2016-2022) adalah mengurangkan 40 peratus jumlah sisa dari Sungai Klang dan berjaya mencapai 38 peratus pada akhir tahun lepas.


Pengarang :