Pengguna menunjukkan aplikasi bayaran parkir digital Smart Selangor Parking (SSP) ketika tinjauan di Taman TTDI Jaya, Shah Alam pada 1 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Rujuk ejen e-kupon jika hadapi masalah bayar parkir

SHAH ALAM, 6 APRIL: Individu berdepan masalah bayaran parkir digital melalui aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) diminta merujuk ejen e-kupon yang sah.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memaklumkan langkah itu lebih mudah selain mendedahkan pengguna dengan lebih mendalam berkenaan sistem terbabit.

“Ejen akan bantu sesiapa sahaja yang beli e-kupon. Lepas bayar, mereka akan masukkan nombor kenderaan pengguna. Jadi memudahkan pengguna.

“Tiada keperluan meletakkan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk urusan ini. Ejen akan membantu pengguna membuat bayaran dan menggunakan aplikasi,” katanya kepada Selangorkini.

Bermula 1 April, bayaran parkir kereta di seluruh PBT negeri ini menggunakan sistem digital sepenuhnya melalui aplikasi yang boleh dimuat turun di Google Playstore, AppStore atau Huawei Store.

Kerajaan Selangor turut melantik 100 kedai serbaneka dan pasar raya KK Mart sebagai ejen bagi membantu pengguna terutama warga emas dan pelancong mendaftar dan membayar kupon parkir.

 


Pengarang :