EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) bersama pempamer yang mengambil bahagian dalam Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 6 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKI
AGENDANASIONAL

EXCO: Sasar lima syarikat tembusi pasaran global, pemain utama industri halal

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kerajaan Negeri menyasarkan lima syarikat berpotensi yang mengusahakan produk halal mampu menembusi pasaran antarabangsa pada tahun ini.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata setakat ini hanya terdapat satu syarikat yang memiliki modal dan pengeluaran cukup bagi memenuhi permintaan industri halal.

“Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti syarikat berpotensi menjadi pemain utama industri. Kita juga bekerjasama dengan pihak berkaitan termasuk kerajaan persekutuan melalui penganjuran ekspo ke luar negara.

“Kita cadang kepada mereka (syarikat halal)  yang layak dan sesuai untuk menyertainya memandangkan ada syarikat belum sesuai ke luar negara, tetapi mereka pergi dan akhirnya tidak dapat memenuhi permintaan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Dialog Aspirasi Pembangunan Industri Halal Selangor bersama pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) serta Iftar Ramadan di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, malam tadi.

Pada 4 hingga 6 Mac lalu, Kerajaan Negeri menganjurkan Persidangan Antarabangsa Halal Selangod (Selhac) bagi membuka ruang kepada pempamer memperkenalkan pelbagai produk unik kepada umum.

Program julung kali dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Sebanyak 100 pempamer daripada 40 syarikat menyertai Selhac terdiri kluster makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.

Penganjuran selama tiga hari turut menyaksikan padanan perniagaan berjaya mencatat transaksi bernilai RM37.73 juta, melepas sasaran RM20 juta yang ditetapkan.


Pengarang :