EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau (tengah) bersama penerima bantuan sempena program Jalinan Ukhuwah bersama golongan berpendapatan rendah di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 7 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

EXCO: Sempena Aidilfitri, negeri belanja RM3.34 juta agih baucar beli-belah

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM3.34 juta untuk agihan baucar beli-belah sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

EXCO kerajaan prihatin berkata inisiatif tersebut memanfaatkan seramai 33,400 ketua isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk membuat persiapan menyambut perayaan itu.

V Ganabatirau menjelaskan baucar bernilai RM100 setiap satu disalurkan melalui wakil rakyat di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 1 April sehingga akhir bulan ini.

“Bantuan ini adalah untuk membantu meringankan beban keluarga miskin terutama bagi persediaan menyambut lebaran.

“Penerima yang layak akan dimaklumkan oleh pusat khidmat DUN masing-masing dan boleh membeli barang keperluan di pasaraya terpilih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Jalinan Ukhuwah dan berbuka puasa bersama 50 keluarga B40 di Hotel Mardhiyyah di sini, semalam.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan B40 sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Penyerahan bantuan disalurkan kepada komponen utama kaum di Selangor mengikut perayaan masing-masing

 


Pengarang :