EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Tiada kenaikan cukai taksiran di Selangor

SHAH ALAM, 28 APRIL: Kerajaan Negeri tidak akan membenar atau meluluskan sebarang kenaikan cukai taksiran membebankan rakyat terutama dalam tempoh pasca pandemik ini.

EXCO kerajaan tempatan berkata sehubungan itu tarikh penguatkuasaan nilaian baharu dibuat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) belum diputuskan.

“Keutamaan Kerajaan Negeri ketika ini adalah untuk merangsang dan merancakkan ekonomi bagi memastikan langkah pemulihan Selangor khususnya dan negara amnya dapat dilaksanakan dengan baik serta berkesan,” kata Ng Sze Han dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semakan nilaian baharu oleh MPKj baru-baru ini dilaksanakan mengikut procedur betul seperti mana diperuntukkan di dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Menurutnya, aras nilaian semasa yang berkuat kuasa di MPKj ketika ini telah berusia 37 tahun iaitu berdasarkan nilaian pada 1985.

“MPKj akan mengambil kira semua bantahan dan ketidakpuasan penduduk. Dalam hal ini, majlis telah menyediakan medium bersesuaian kepada semua pemilik harta berkadar yang ingin menyatakan bantahan terhadap tindakan penilaian semula ini,” katanya.

Pada November tahun lalu, yang dipertua MPKj memaklumkan pihaknya bercadang menaikkan kadar cukai taksiran pada 2023.

Najmuddin Jemain berkata kadar kenaikan dicadangkan adalah tidak melebihi RM20 untuk penduduk yang tidak membuat pengubahsuaian kediaman.


Pengarang :