Jemaah menunaikan solat Jumaat tanpa penjarakan fizikal di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya susulan peralihan ke fasa endemik bermula 1 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Fasa endemik: Sembilan perkara sebagai panduan orang ramai

SHAH ALAM, 1 APRIL: Kerajaan menetapkan satu tatacara operasi piawai (SOP) yang mempunyai sembilan perkara untuk panduan orang ramai selepas negara beralih ke fasa endemik mulai hari ini.

Sembilan perkara itu antaranya melibatkan had waktu premis yang boleh beroperasi selepas jam 12 tengah malam (bergantung kepada pihak berkuasa tempatan masing-masing).

Orang ramai juga masih perlu mengimbas kod QR MySejahtera untuk pendaftaran masuk di pintu masuk utama premis seperti pusat membeli belah, pasar raya, pasar borong, pasar malam dan bazar Ramadan.

Namun kedai, gerai atau kiosk yang berada dalam premis pusat membeli belah, pasar raya, pasar borong, pasar malam dan bazar Ramadan tidap perlu menyediakan MySejahtera.

Pelitup muka juga masih diwajibkan kecuali melibatkan beberapa situasi antaranya ruang kerja bersendirian, aktiviti sukan dan rekreasi, aktiviti persembahan (menyanyi, menari, berlakon, berceramah) serta kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.

Pengecualian pelitup muka turut diberikan kepada individu berkeperluan khas serta mempunyai masalah pernafasan (dengan syarat mengemukakan laporan perubatan disahkan pengamal perubatan).

Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut mengeluarkan garis panduan berhubung penjarakan fizikal, pengudaraan, kebersihan tangan, pembersihan premis, ujian pengesana Covid-19 dan pengurusan kes.

Bagaimanapun aktiviti melibatkan kelab malam masih belum dibenarkan.

Orang ramai boleh mendapat perincian menerusi laman web https://www.mkn.gov.my/web/ms/fasa-peralihan-ke-endemik/

 

 


Pengarang :