Nur Athirah Abdul Latif yang berkhidmat dengan syarikat Foodpanda menghantar pesanan kepada pelanggan di sekitar Batu Caves, Gombak. Foto SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Foodpanda sedia inisiatif caruman Perkeso, bakal manfaat lebih 60,000 penghantar makanan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Inisiatif SPS Padanan Caruman bagi perlindungan keselamatan sosial yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bakal memanfaatkan lebih 60,000 penghantar makanan Foodpanda Malaysia Sdn Bhd (Foodpanda Malaysia).

Perkara itu dimeterai menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia Sayantan Das dengan disaksikan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, di sini hari ini.

Saravanan berkata di bawah program SPS Padanan Caruman, kerajaan menyumbangkan bayaran caruman sebanyak 80 peratus atau RM186.20 daripada caruman Pelan 2 yang bernilai RM232.80 menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

“Orang Bekerja Sendiri hanya perlu membayar 20 peratus atau RM46.60 untuk tempoh perlindungan selama satu tahun. Bagaimanapun saya difahamkan Foodpanda mengambil satu langkah proaktif iaitu mendaftar dan mencarumkan rakan penghantar mereka dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Perkeso di bawah program Skim Pekerjaan Sendiri Padanan Caruman.

Langkah ini membolehkan rakan penghantar makanan menerima insentif tambahan bagi bayaran caruman dengan hanya perlu membayar 10 peratus iaitu RM23.30 daripada jumlah keseluruhan iaitu RM232.80,” katanya kepada pemberita pada majlis MoU Perkeso dan Foodpanda Malaysia di sini, hari ini.

Saravanan berkata langkah proaktif yang dilaksanakan Foodpanda Malaysia itu diharap akan menjadi contoh kepada sektor lain untuk berbuat perkara sama.

Terdahulu, Saravanan dalam ucapannya berkata berdasarkan statistik Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri Perkeso sehingga 18 Feb lepas, seramai 360,469 pencarum aktif dalam kalangan Orang Bekerja Sendiri direkodkan berdaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri berbanding 2020, iaitu hanya 73,556 Orang Bekerja Sendiri.

Beliau berkata ia adalah peningkatan hampir 500 peratus, namun dalam masa yang sama, statistik Perkeso turut merekodkan peningkatan bilangan kes kemalangan akibat bencana kerja.

“Pada 2021, seramai 1,498 penerima Faedah Hilang Upaya Sementara atau bantuan kewangan yang dibayar kepada Orang Bekerja Sendiri yang menerima cuti sakit berbanding 288 penerima pada 2020.

Sementara tuntutan kes bagi Faedah Orang Tanggungan atau faedah yang diberikan kepada waris apabila pekerja meninggal dunia akibat bencana pekerjaan pada 2021 juga meningkat kepada 147 penerima faedah daripada 40 penerima pada 2020,” katanya.

Beliau berkata kenaikan itu dikenal pasti berpunca daripada peningkatan kemalangan maut di jalan raya, justeru beliau menyeru golongan yang bekerja sendiri untuk segera mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

– BERNAMA


Pengarang :