Pasukan Malaysia menewaskan Brunei 10-0 dalam aksi kumpulan A Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Bangkok pada 5 April 2022. Foto Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia
AGENDASUKANKINI

Futsal: Malaysia pesta gol atasi Brunei 10-0, hidup peluang ke separuh akhir

KUALA LUMPUR, 5 APRIL: Skuad futsal lelaki kebangsaan kembali menghidupkan peluang untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 selepas membelasah Brunei 10-0 dalam aksi Kumpulan A di Bangkok, hari ini.

Aksi di Stadium Tertutup Hua Mark itu menyaksikan tiga pemain negara iaitu Ekmal Shahrin, Mohamad Sufri Shamil serta Joshua Lee masing-masing meledak dua gol bagi membantu Malaysia kembali bangkit selepas dimalukan Indonesia 1-5 pada aksi kedua kumpulan semalam.

Malaysia yang jelas menguasai perlawanan melaungkan amaran awal menerusi Abu Haniffa Hasan pada minit kelima namun rembatan kencangnya hanya singgah di tiang kiri gol Brunei, sebelum Ekmal Shahrin memanfaatkan serangan balas negara apabila tenang menolak masuk bola ke dalam gawang lawan untuk membuka tirai jaringan selang tiga minit kemudian.

Malang terus menimpa Brunei apabila Jumatatulalesharezan Metali tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-18, berpunca daripada percubaan deras Abu Haniffa, sekali gus meletakkan Malaysia selesa di depan 2-0 menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, pasukan negara semakin ghairah mengasak Brunei dan berpesta gol apabila menghasilkan lapan jaringan menerusi Mohamad Sufri pada minit ke-21 dan 22 disusuli gol kelima Abu Haniffa pada minit ke-33, manakala Muhammad Farhan Khairul Anuar turut mencetak nama selaku penjaring juga pada minit ke-33 serta Ekmal seminit selepas itu.

Joshua Lee pula meledak dua gol pantas dalam tempoh seminit iaitu pada minit ke-37 sebelum Muhammad Aidil Shahril Rosli terus menghukum Brunei untuk melengkapkan kemenangan besar Malaysia pada minit ke-38.

Skuad negara yang mengutip enam mata selepas tiga perlawanan kini perlu menewaskan tuan rumah dalam misi wajib menang mereka pada aksi terakhir Kumpulan A esok untuk menjamin slot ke separuh akhir.

Pada aksi pertama Sabtu lepas, Malaysia membuka kempen dengan kemenangan tipis 7-6 ke atas Kemboja.

— BERNAMA

 


Pengarang :