Tan Mike Foong melafazkan syahadah pada 2015. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Gelap di mata, terang di hati, mualaf pernah juarai hafazan 2017

Tidak mudah bertukar agama, apatah lagi ketika kehidupan remaja terpaksa bergantung pada keluarga.

Meski berliku, pemuda kurang upaya penglihatan ini mengharunginya dengan sabar. Tan Mike Foong memilih Islam pada usia 19 tahun tanpa pengetahuan ibu bapa.

Berkat kesungguhannya, pemuda 26 tahun itu berjaya menghafal al-Quran awal Januari tahun ini. Wartawan Afix Redzuan bersama jurufoto Remy Arifin bertemu Mike Foong di Darul Quran, Hulu Selangor pada 17 Mac.

 

LAMA Tan Mike Foong berfikir cara untuk menzahirkan penghijrahannya. Tidak sanggup dibelenggu rasa bersalah menyembunyikan keputusannya memilih Islam daripada keluarga.

Syahadah dilafaz pada 2015 tidak akan mengubah pendiriannya dalam agama tauhid. Sedia dengan sebarang kemungkinan, dia mahu keluarganya tahu dia sudah Islam.

Selepas setahun memeluk Islam, beliau mengajak ibu bapa dan dua adiknya makan di restoran di Wangsa Maju, Kuala Lumpur berdekatan Interaktif Dakwah dan Tarbiah (IDT). Tenang Mike Foong memasuki restoran yang sentiasa dikunjunginya setiap kali beraktiviti di IDT yang diasaskan Lim Jooi Soon atau Brother Lim.

“Masuk ke restoran seorang mak cik yang juga pemilik kedai tanya saya. Siapa ini? Mereka sudah Islam?” cerita pemuda kelainan upaya (OKU) penglihatan kepada Selangorkini pada 17 Mac.

“Saya jawab belum. Selepas itu kami makan seperti biasa.”

Jawapannya ringkas, namun cukup untuk memberi isyarat kepada keluarganya bahawa ketika itu dia bergelar muslim. Meski tidak mengenali rapat wanita warganegara China yang bertanya soalan berkenaan namun beliau lega fasa pertama penghijrahannya selesai.

Mike menggunakan Braille untuk membaca al-Quran ketika ditemui di Darul Quran, Hulu Selangor pada 17 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sejak itu, hubungan dengan keluarganya masih seperti biasa. Mike Foong tahu ibunya Ang Bee Cheng kecewa dengan keputusan yang dibuatnya seawal usia 19 tahun. Namun kasih sayang antara mereka berdua tidak berubah.

Mike Foong mengakui bukan mudah untuk menjelaskan agama baharunya. Namun beliau sabar dan istiqamah. Baginya kewajipan sebagai hamba-Nya tetap perlu ditunaikan.

Mike Foong turut berdoa suatu hari nanti keluarga mengikut jejaknya memeluk Islam tetapi hubungan keluarga tetap menjadi keutamaan.

“Sampai sekarang saya tidak dapat pujuk (keluarga) tapi Alhamdulillah mereka dapat terima (saya masuk Islam),” katanya.

Suka dengar azan

Pemuda yang mengekalkan nama asal sejurus memeluk Islam dibesarkan dalam keluarga menganut agama Buddha. Apabila memasuki alam persekolahan dia suka mendengar azan. Sejak itu mula mencari makna Islam.

Semasa belajar di Persatuan Bagi Orang Buta dalam bidang sistem maklumat di Brickfields, Kuala Lumpur, beliau diperkenalkan mengenai Islam oleh Brother Lim. Beliau terbuka menerimanya walau masih ada persoalan mengenai perundangan Islam.

“Semasa Brother Lim datang mengajar dan beri penerangan mengenai Allah SWT serta sifat-Nya saya dapat terima. Sejak itu saya fikir tiada siapa boleh selamatkan keluarga kecuali Allah SWT.

“Saya masih ingat kejadian ahli keluarga hampir lemas di sungai. Dia (Allah) ‘mengirimkan’ batu menghalang ahli keluarga saya daripada lemas dan hanyut lebih jauh dibawa arus deras. Dari situ saya boleh terima sifat Allah SWT.

“Dahulu juga saya kerap dibawa berjumpa ‘bomoh jin’ untuk ubati mata. Waktu dirawat saya rasa takut, gementar dan gelisah sebab tidak percaya. Mustahil Tuhan yang dikatakan boleh menyembuhkan itu adalah manusia atau makhluk,” katanya mengenang peristiwa yang mendorong beliau mencari petunjuk.

Ketika awal menjadi mualaf, beliau sukar untuk beribadah terutama sembahyang semasa di rumah kerana keIslamannya belum diketahui keluarga. Pelbagai helah dicari bagi memastikan solat lima waktu tidak ditinggalkan.

“Saya tidak solat (di rumah) tapi saya nak sangat solat. Kadang-kadang saya gerakkan mata dan kepala sambil duduk. Saya tidak baca apa-apa, tidak angkat takbir. Ada kalanya saya kena jamak dan qada solat (yang ditinggalkan). Nasib baik tak ‘kantoi’ tapi (akhirnya) mereka (keluarga) faham saya nak solat,” katanya.

Mike Foong juga mengenali Islam menerusi program usrah. Bermula dengan mengikut ajakan rakan, beliau mempelajari akhlak, kisah nabi dan bagaimana seseorang itu perlu beriman.

Hafal al-Quran

Meski lahir buta, kekurangan itu tidak membataskan usaha Mike Foong belajar mengaji bermula dengan iqra’ diikuti muqaddam seterusnya menghafal surah al-Baqarah serta Juzuk Amma sejurus memeluk Islam.

“Saya terlebih dahulu belajar mengenal huruf hijaiyah dalam format Braille. Ada huruf hijaiyah yang mempunyai kombinasi titik sama dengan huruf biasa, jadi saya lebih mudah faham. Apabila sudah boleh tulis huruf alif sampai ya, saya terus baca iqra’,” katanya yang kini tamat menghafal 30 juzuk al-Quran pada awal Januari tahun ini.

Tidak terhenti di situ, Mike Foong melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat di Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hulu Selangor pada 2018. Sepanjang pengajian, ibunya setia menemani dan sanggup berulang-alik lapan kilometer dari rumahnya di Kampung Asam Kumbang hampir setiap hari ke pusat pengajian demi dirinya.

Mike menggunakan Braille untuk membaca al-Quran ketika ditemui di Darul Quran, Hulu Selangor pada 17 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Mak banyak tolong. Dia melawat hampir setiap hari. Saya sangat berterima kasih kepada mak yang membantu. Saya sebenarnya berdikari tetapi mak tetap uruskan keperluan. Malah dia pernah cakap biarlah aku buat sampai mati.”

Berkongsi liku menghafal kalam 114 surah, Mike Foong mengakui cabaran paling besar dirasai pada semester empat dan lima pengajian diplomanya kerana ketika itu beliau mula putus asa menghabiskan hafalan al-Quran.

“Antara halangan hafal al-Quran adalah gajet, sikap malas mengulang bacaan, rasa ‘down’ dan mahu berhenti. Memang berat rasanya habiskan semester empat dan lima.

“Saya fikir kalau berhenti habis biasiswa bulanan. Jadi saya paksa diri untuk (habiskan) hafal al-Quran. Alhamdulillah kawan-kawan turut membantu,” katanya yang turut mahir bermain piano dan gitar.

Sertai pertandingan

Mike Foong berkata di Darul Quran beliau banyak belajar teknik membaca al-Quran mengikut hukum tajwid yang betul hasil bimbingan pensyarah. Sekalipun beliau antara pelajar OKU namun ia tidak membataskan kebolehannya.

Lebih membanggakan, Mike Foong pernah menjuarai Pertandingan Hafazan peringkat kebangsaan di Kuching, Sarawak pada 2017. Beliau turut meminati bacaan Surah Lazim alunan qari terkenal Kuwait, Mishary Rashid.

Berehat seketika daripada menyertai pertandingan hafazan tahun ini, Mike Foong turut menyimpan impian membuka pusat bimbingan Islam dan mengajar insan senasib dengannya membaca al-Quran Braille.

Mike Foong menantikan kehadiran Ramadan tahun ini dengan penuh rasa teruja. Bakal menjalani ibadah berkenaan buat kali ketujuh sejak memeluk Islam pada 2015, beliau sedaya upaya memastikan puasanya cukup 30 hari tanpa ‘rongak’.

Baginya puasa satu ibadah yang hebat. Selain menahan lapar dan dahaga, Ramadan adalah bulan penuh keberkatan dan menghadiahkan ganjaran besar bagi setiap ibadah.

“Saya tidak lupa kali pertama berpuasa sebab bukan mudah mencari alasan untuk beritahu keluarga. Ini ibadah wajib, maka saya kena buat walau apa cara sekalipun sebab ketika itu sukar untuk saya beritahu mereka,” katanya ketika menceritakan pengalaman berpuasa.

Malah Mike Foong pernah menjauhkan diri daripada keluarga selama sebulan dan tinggal di IDT semata-mata mahu berpuasa penuh. “Pernah sekali saya tidak pulang ke rumah lebih sebulan. Saya duduk di IDT. Saya cakap saya tolong seorang ‘uncle Cina’ (Brother Lim).

“Jadi mereka tidak syak sebab saya sentiasa berhubung dengan keluarga. Sepanjang tempoh itu saya dijaga oleh Brother Lim dan kawan-kawan sehingga habis bulan puasa,” katanya.

Meski dunianya gelap, Mike Foong tetap dapat merasai ikatan persaudaraan sesama Islam saat menunaikan solat fardu dan tarawih berjemaah sepanjang Ramadan. Baginya solat jemaah tanpa jarak seperti ditetapkan tatacara operasi piawai (SOP) kini lebih seronok.

Berkongsi juadah kegemaran Ramadan, anak sulung tiga beradik itu berkata beliau biasanya berbuka dengan hidangan berasaskan nasi dan mi sahaja masakan air tangan ibunya.


Pengarang :