Gambar hiasan
AGENDANASIONAL

Guru pukat ikan dikhuatiri lemas jatuh lubang pusar air

SETIU, 16 APRIL: Seorang guru dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika sedang memukat ikan di kawasan muara sungai Kuala Baru dekat Kampung Mangkuk di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, Sugani Yasin, 51, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh dekat Permaisuri di sini, dikatakan telah menaiki bot dari Kampung Fikri ke lokasi tersebut bersama 14 rakannya yang lain.

Seorang rakan mangsa, Khairul Azri Abdullah, 44, berkata mereka berpecah kepada dua kumpulan iaitu 10 orang turun menarik pukat, manakala dia bersama empat lagi rakan termasuk mangsa berjalan di kawasan berkenaan kerana air sedang surut.

“Saya jalan di belakang sekali… keadaan memang gelap, air hanya di paras lutut kami sahaja, tapi tiba-tiba kami semua terjatuh ke dalam lubang air yang berpusar.

“Saya hanya sempat selamatkan tiga orang dan hilang tenaga, sudah tak berdaya untuk selamatkan Sugani yang hilang dihanyutkan arus. Kemudian kami terus buat panggilan kecemasan kepada polis dan bomba,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu DSP Affandi Hussin berkata pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian itu pada 12.45 tengah malam tadi dan pasukan penyelamat telah bergegas ke tempat kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan 42 anggota melibatkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 10 orang awam sehingga kini masih belum menemui mangsa,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :