Orang ramai diingatkan untuk lebih berwaspada dan tidak terpengaruh dengan iklan dalam media sosial yang menawarkan lesen memandu tanpa perlu menghadiri kelas dan ujian memandu. Foto BERNAMA
AGENDA JENAYAH

Guru rugi RM45,000 diperdaya pelaburan menerusi Telegram

SEREMBAN, 22 APRIL: Seorang guru dari Jempol mendakwa kerugian RM45,500 selepas terpedaya dengan pelaburan yang ditawarkan menerusi aplikasi Telegram, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 52 tahun itu telah dimasukkan ke sebuah kumpulan Telegram dan ditawarkan pakej pelaburan dalam tempoh perdagangan tiga hingga enam jam yang akan mendapat keuntungan sebanyak RM15,000 setelah selesai tempoh masa perdagangan tersebut.

“Mangsa memilih pakej 1 iaitu membayar sebanyak RM1,000 dengan pulangan RM16,000 dalam tempoh masa perdagangan tiga hingga enam jam. Tertarik dengan tawaran tersebut, lelaki berkenaan melakukan bayaran sebanyak RM1,000 ke akaun bank tempatan milik seorang individu pada hari sama.

“Pada 18 hingga 19 April, mangsa telah membuat empat kali transaksi berjumlah RM44,500 ke beberapa akaun bank tempatan milik syarikat dan individu lain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa yang sudah membuat transaksi itu, sekali lagi diminta membuat bayaran sebanyak RM27,500 sebelum RM82,500 didakwa akan dimasukkan ke akaunnya.

Hoo berkata mangsa yang berasa telah ditipu membuat laporan polis semalam dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Hoo berkata seorang jurujual lelaki berusia 30 tahun dari Bahau kerugian RM20,000 selepas terpedaya dalam sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram dan kegiatan dadah.

“Mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki pada 16 April lepas dan panggilan itu didakwa disambungkan kepada pegawai polis bagi menjalankan siasatan terhadap mangsa,” katanya.

Beliau berkata lelaki itu yang mengikut arahan suspek telah mendedahkan semua butiran akaun bank kepada individu tidak dikenali tersebut serta mangsa yang berasa curiga lalu membuat semakan ke dalam akaun banknya dan mendapati wang telah berkurangan sebanyak RM20,000.

Hoo berkata mangsa yang menyedari telah ditipu membuat laporan polis pada Selasa lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :