Gelagat kakitangan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal MBPJ, Khairul Fikri Gulam Mohd memakai pakaian adiwira ‘Spiderman’ bagi Kempen Kumpul Minyak Masak Terpakai di bazar Ramadan SS6/1, Petaling Jaya pada 5 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Hadiah, wang tunai menanti orang ramai dalam kempen minyak masak terpakai

SHAH ALAM, 6 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan kempen mengumpul minyak masak terpakai bertujuan menggalakkan orang ramai memelihara alam sekitar.

Datuk Bandar Mohamad Azhan Md Amir berkata terdapat tujuh lokasi pengumpulan disediakan termasuk empat bazar Ramadan iaitu Taman Medan PJS 2, Kelana Jaya SS 6, Seksyen 4 Kota Damansara dan Damansara Damai PJU 10.

Katanya, pusat pengumpulan di keempat-empat lokasi di bazar Ramadan itu beroperasi dari jam 4 petang hingga 6.30 petang.

Beliau berkaya, tiga lokasi lain adalah di PJ Eco Recycling Plaza (Selasa hingga Ahad), Pusat Kitar Semula Tasik Taman Jaya (Isnin hingga Jumaat) dan jabatan pengurusan sisa pepejal dan permbersihan awam di Menara MBPJ.

“Orang ramai perlu mengumpul minyak terpakai dan membawa ke lokasi ini untuk ditimbang. MBPJ akan membayar RM1 untuk setiap satu kilogram (kg).

“Minyak masak bercampur air atau benda asing tidak diterima. Pengumpul minyak terbanyak juga akan diberikan hadiah menarik,” katanya dalam satu kenyataan kenyataan.

Jelasnya sepanjang 2021 hingga Mac lalu, pihaknya berjaya mengumpul sebanyak 1,987 kg minyak masak terpakai.

“Minyak masak ini dikitar semula untuk dijadikan biodiesel, sabun dan lilin,” katanya.


Pengarang :