Le Ngoc Phuong Nga, 11, (duduk) menerima suntikan vaksin sambil diperhatikan oleh kembarnya Le Ngoc Phoung Linh, 11, (tengah) pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) pada 25 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hampir 200,000 kanak-kanak sudah lengkap vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Seramai 195,865 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun atau 5.5 peratus daripada populasi itu di negara ini telah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak Covid-19 Kebangsaan (PICKids), setakat semalam.

Berdasarkan laman web CovidNow, seramai 1,371,120 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 38.6 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun, seramai 2,863,771 individu atau 92 peratus telah lengkap divaksin, manakala 2,965,625 atau 95.3 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi dewasa pula, seramai 15,942,215 individu atau 67.8 peratus telah menerima dos penggalak, manakala 22,958,810 atau 97.6 peratus telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin dan 23,235,580 atau 98.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 45,550 dos vaksin Covid-19 diberikan semalam, melibatkan 32,773 dos kedua, 8,283 suntikan dos penggalak dan 4,494 dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 69,320,354.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 30 kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Malaysia semalam dengan Johor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu lima kes, diikuti Pulau Pinang dan Sarawak dengan masing-masing empat kes.

Perak dan Selangor masing-masing merekodkan tiga kes manakala Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing dengan dua kes sementara satu kes masing-masing di Perlis, Sabah dan Terengganu.

– BERNAMA


Pengarang :