Para penyokong HARAPAN memasang bendera parti pada kempen Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 pada 8 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

HARAPAN: PM panggil sidang khas lulus RUU Antilompat Parti sebelum akhir Mei

SHAH ALAM, 11 APRIL: Pakatan Harapan berkata Perdana Menteri bersetuju memanggil satu sidang khas Parlimen sebelum akhir bulan Mei bagi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti.

Majlis Presiden Harapan berkata perkara itu dipersetujui dalam perbincangan bersama Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) di Parlimen pagi tadi.

“Dalam pertemuan itu turut dibincangkan mengenai pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak berpersatuan yang perlu diperhalusi supaya ianya dihadkan kepada Rang Undang- Undang berhubung larangan melompat parti sahaja.

“Turut dibincangkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan berhubung seseorang wakil rakyat yang melepaskan jawatan wakil rakyat hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun akan diteliti dan
diusahakan penyelesaian supaya selaras dengan semangat RUU Antilompat Parti,” menurut kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya pindaan Perlembagaan yang dibentangkan hari ini juga akan dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan, melibatkan semua parti yang berperanan meneliti, memperhalusi dan mencadangkan deraf pindaan Perlembagaan dan RUU Antilompat Parti ke
Jemaah Menteri dalam masa satu bulan.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Setiausaha DAP Anthony Loke dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Datuk Seri Madius Tangau.

“Majlis Presiden turut mengulangi pendirian bahawa RUU Antilompat Parti adalah salah satu syarat utama Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU).

“Pakatan Harapan komited untuk memastikan pindaan Perlembagaan dan RUU Antilompat Parti ini berjaya dibentang dan diluluskan di Parlimen, demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses pilihanraya dan seterusnya menjamin masa depan demokrasi di Malaysia,” kata kenyataan itu.


Pengarang :