Gambar hiasan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hujan batu landa kampung di Sandakan 30 minit sebelum waktu berbuka

SANDAKAN, 9 APRIL: Fenomena luar biasa berlaku di sebuah perkampungan atas air, Kampung Tinusa 2 dekat sini apabila penduduk dikejutkan dengan hujan batu kurang setengah jam sebelum waktu berbuka puasa petang tadi.

Kejadian berlaku selama kira-kira 20 minit sekitar 5.50 petang tadi, ditambah pula dengan hujan lebat dan angin kencang, kata Pemaju Mukim Sungai Sibuga Osman Tiakok, yang juga penduduk kampung berkenaan.

“Meskipun kampung ini sering mengalami cuaca hujan lebat dan angin kencang serta air pasang luar biasa berikutan kedudukan kampung yang terdedah kepada laut terbuka, namun hujan ais (batu) itu adalah kali pertama dialami.

Tetapi Alhamdulillah, keadaan beransur pulih selepas hujan batu itu berserta angin kencang reda. Setakat ini, tiada laporan kerosakan rumah seperti zink atau bumbung terbang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Osman berkata penduduk kampung yang teruja melihat ketulan ais jatuh atas bumbung dan halaman luar rumah serta mengenai jendela kereta, dengan pantas merakamkan kejadian itu.

Jabatan Meteorologi telah meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga 11 malam ini di negeri Sabah.

– BERNAMA

 


Pengarang :