EXCO Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau (tengah) bercakap pada sidang media pemberdayaan pekerja melalui kursus IPT di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam pada 28 April 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Ibu tunggal, wanita B40 ditawar ikuti kursus anjuran unit berdaya pekerja

SHAH ALAM, 28 APRIL: Ibu tunggal, wanita daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan pengasuh dipelawa menyertai kursus institusi pengajian tinggi (IPT) yang ditawar melalui insiatif Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS).

EXCO pemberdayaan pekerja memaklumkan kursus itu meliputi perbidanan, kecantikan, pengurusan dan penjagaan warga emas serta program ganjaran tajaan komuniti (CSR).

V Ganabatirau berkata inisiatif julung kali itu membabitkan kerjasama dengan Vandy Confinement Sdn Bhd, B Beaute Elegant Sdn Bhd, Senior Care Academy Sdn Bhd dan Akademi J&W Sdn Bhd.

“Kita bermatlamat untuk memastikan golongan terbabit dapat membangunkan dan berinovasi dalam industri berkaitan serta memperoleh diploma profesional universiti.

“Kursus berkaitan juga mampu meningkatkan peluang pekerjaan kepada mereka selepas tamat pengajian sekali gus mengekalkan bakat dan mencipta lebih ramai usahawan baharu,” katanya.

Yuran pengajian bagi semua kursus berkenaan berjumlah RM24,000 dengan 100 peratus dibiayai penaja, manakala yuran pendaftaran antara RM2,500 hingga RM3,500 mengikut kursus.

Peserta perlu mengikuti kelas secara hibrid selama dua tahun setengah sebelum dianugerahkan sijil berkaitan.

Ganabatirau turut memaklumkan ibu bapa kurang berkemampuan dipelawa mendaftarkan anak berusia lima hingga 12 tahun dalam program pendidikan seni kendalian Artzland Studio.

“Program selama setahun membuka peluang kepada kanak-kanak menyertai pameran seni, penerbitan karya dalam buku seni serta mempelajari pelbagai kaedah seni.

“100 pendaftaran pertama akan mendapat tajaan sepenuhnya,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Ideal di sini hari ini.


Pengarang :