Selangorkini
Orang ramai menghadiri program Iftar Ala Madinah anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 16 April 2022. Foto ihsan MBSA
PBT SELANGOR

Iftar ala Madinah meriah, personaliti turut serta beramah mesra

SHAH ALAM, 18 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan 2,500 juadah sempena program Iftar Ala Madinah dan Sembang Sahur Edisi Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan yang berlangsung Sabtu lalu.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awam berkata personaliti seperti Shamsul Ghau-Ghau, PU Amin dan juara tilawah antarabangsa Nor Farhatul Fairuzah turut tampil memeriahkan majlis.

“Program turut diisi dengan tazkirah dari pendakwah bebas Ustaz Fauzi Mustaffa dan bacaan al-Quran oleh Ustaz Ammar Mukhlis selain solat Maghrib, Isyak secara Tarawih secara berjemaah.

“Program ini mendapat sumbangan berjumlah RM50,000 daripada Persatuan Kebajikan Richwell,” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini.

Beliau berkata seramai 100 anak yatim dari Rumah Penyayang Ulin Nuha dan Institut Taufiq Islami di Seksyen 30 serta Rumah Amal Islami Bestari, Kampung Melayu Subang turut menerima sumbangan duit raya.

“Program sembang sahur diteruskan selepas solat Tarawih melibatkan kawasan di Dataran Kemerdekaan, Laman Budaya Shah Alam, Hospital Shah Alam serta Balai Polis Seksyen 9 dan Balai Bomba Seksyen 15.

“Sebanyak 1,000 pek makanan sahur diagihkan. Langkah ini dapat merapatkan hubungan ukhwah dan silaturrahim antara MBSA dan pelbagai pihak khususnya warga Shah Alam,” katanya.


Pengarang :