Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad pada sidang media sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Majlis Keselamatan Negara (MKN), Putrajaya pada 7 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Indeks keselamatan kebangsaan diperkenal hujung tahun ini

BANTING, 18 APRIL: Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedang membangunkan Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK), yang menjadi penanda aras keberkesanan dasar, strategi dan pelaksanaan pengurusan keselamatan secara menyeluruh di negara ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad berkata pihaknya menyasarkan untuk memperkenalkan indeks tersebut pada penghujung tahun ini.

Beliau berkata IKK itu akan menjadi petunjuk dan penanda aras kepada negara luar untuk membuat keputusan bagi melabur atau mengadakan sebarang program di negara ini.

“Di Malaysia, kita selalu tidak dapat jawab secara khusus (mengenai tahap keselamatan), yang ada ‘Global Peace Index’. Ia dibuat oleh pihak negara lain. Kadang-kadang kita tidak setuju dengan rating yang mereka berikan kepada kita. Kita juga tidak tahu apa pembolehubah yang mereka gunakan.

“Jadi apabila Amerika Syarikat mengeluarkan satu indeks, indeks kita rendah, menyebabkan ada negara membuat sekatan perjalanan dan nasihat pelancongan tidak boleh (melancong). Ia merugikan kita,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Pelancaran Rasmi Batu Asas Asrama Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin di Kanchong Darat, di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah MKN Selangor Faizatul Aini Mohd Adnan.

Sementara itu, Rodzi berkata pihaknya akan memperkenalkan Sukarelawan MKN pada Jun ini bagi menjayakan konsep pengurusan keselamatan berasaskan komuniti.

“Pengurusan keselamatan berasaskan komuniti yang mana teras kepada semua perkara ini adalah Dasar Keselamatan Negara.

“Dasar ini menekankan bahawa keselamatan itu adalah satu pengurusan bersifat menyeluruh merangkumi semua aspek dalam kehidupan bukan sahaja keselamatan dan kedaulatan, ia meliputi tadbir urus yang baik, pengurusan alam sekitar, keselamatan makanan dan pengiktirafan antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, pemilihan sukarelawan itu akan memfokuskan kepada golongan belia.

– BERNAMA

 


Pengarang :