Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor (tiga kiri) dan Pengarah Jabatan Landskap Mohd Yunus Suri (empat kanan) selepas menerima anugerah ILAM. Foto MBSA
PBTSELANGOR

Inisiatif hijau MBSA terima pengiktirafan institut arkitek landskap

SHAH ALAM, 12 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya memenangi Anugerah Arkitek Landskap Malaysia 2019 bagi kategori agensi kerajaan (anugerah inisiatif hijau) daripada Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM).

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA berkata anugerah itu diterima Jabatan Landskap MBSA menerusi program Perintis Hijau Shah Alam pada 25 Mac lalu di Georgetown, Pulau Pinang.

Menurut Shahrin Ahmad anugerah dalam bentuk trofi dan sijil penghargaan itu disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Rotina Mohd Daik kepada Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Zamani Ahmad Mansor dan Pengarah Jabatan Landskap MBSA, Mohd Yunus Suri.

“Perintis Hijau Shah Alam adalah program pendidikan yang dilaksanakan sejak 2009 hingga kini bertujuan memberi pendedahan kepada murid sekolah Tahun 4 dan 5 mengenai kepentingan alam sekitar, tumbuh-tumbuhan dan taman awam kepada kehidupan manusia.

“Menerusi projek ini peserta diasah bakat kreativiti melalui penciptaan konsep dan reka bentuk bagi membina sebuah taman mini atas meja yang unik serta menarik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 


Pengarang :