Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada majlis Rapat Rahmah Ramadan bersama penjawat awam di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 8 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASELANGOR

Insentif Ramadan: Penjawat awam negeri anggap hadiah istimewa sambut Aidilfitri

SHAH ALAM, 8 APRIL: Rata-rata penjawat awam negeri bersyukur atas atas pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) atau Insentif Rahmah Ramadan yang dianggap sebagai hadiah istimewa menjelang sambutan Aidilfitri.

Kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah Sabak Bernam Norhidayah Abdul Rashid berkata sebahagian bantuan itu akan digunakan untuk persiapan Aidilfitri selepas dua tahun perayaan itu dirai sederhana akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Norhidayah Abdul Rashid

“Ini kali kedua saya terima bonus dari Kerajaan Selangor sejak berkhidmat pada Disember 2021. Insya-Allah sebahagiannya akan disimpan untuk dijadikan deposit membeli rumah,” katanya.

Kakitangan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) pula berkata insentif sebulan gaji itu  menaikkan semangat penjawat awam untuk terus memberikan khidmat terbaik.

“Insya-Allah ia akan digunakan untuk persiapan hari raya, selain turut dikongsikan bersama ahli keluarga terdekat yang terkesan akibat pandemik,” kata Mohammad Nor Safar Tam.

Mereka ditemui selepas pengumuman Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam majlis Rapat Rahmah Ramadan di dewan bangunan pentadbiran negeri hari ini.

Mohammad Nor Safar Tam

Insentif satu bulan gaji dan minimum RM1,000 disediakan kepada semua kakitangan Kerajaan Negeri termasuk penjawat awam yang gaji mereka dibayar kerajaan persekutuan membabitkan kesan kewangan RM39.15 juta.

Selain itu,  bantuan RM500 turut diagih kepada penggerak belia Selangor dan masjid seperti nazir, imam, siak serta bilal atas dedikasi pengimarahan institusi masjid sepanjang Ramadan. Pembayaran dibuat pada 27 April.

Sementara itu, Presiden Penggerak Belia Selangor (PeBS), Akmal Halim berkata seramai 280 PeBS akan menerima bantuan RM500 seperti diumum Dato’ Menteri Besar.

“Kami amat-amat berterima kasih. Bantuan ini menunjukkan Kerajaan Negeri memahami keadaan anak muda yang menghadapi kekangan ekonomi susulan pandemik melanda negara sejak dua tahun lalu.

“Alhamdulillah secara tidak langsung makin bertambah berseri menyambut Aidilfitri kali ini,” katanya ketika dihubungi.

 

 


Pengarang :