Ismail Nuh ketika ditemui di Restoran Amber miliknya di Bangsar, Kuala Lumpur. Foto Fikri Yusof/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Ismail tinggalkan Lanzhou, China demi ‘hujan emas’ di Malaysia

Surat tawaran melanjutkan pengajian usuluddin digenggam kemas di tangannya. Perlahan air mata girang menitis seraya senyuman manis terukir di wajah lelaki Cina Muslim itu.

Lalu diambil ketayap pada ubun-ubun dan beliau mengesat lelehan tangisnya di pipi. Ismail Nuh @ Cui Wei bersama 31 pelajar pendidikan agama Islam di Lanzhou, China terpilih untuk belajar ke Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin, Terengganu (kini dikenali Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Tidak semena-mena kisah pelayaran hebat Laksamana Cheng Ho ke alam Melayu terus- menerus bermain dalam kotak fikiran. Cukup mengujakan anak muda yang berumur 23 tahun pada masa itu.

Tekad Ismail yang kehilangan bapa pada usia tujuh tahun itu ialah mahu belajar di semenanjung emas dan membaiki kehidupan keluarga. Beliau tidak mahu ibunya berumur 53 tahun menjadi pembantu rumah sampai tua.

Terbang ke Malaysia

Sedar peluang seperti ini tidak datang selalu, pada 1995 beliau meninggalkan kampung halamannya di Lanzhou, wilayah Gansu, China, terbang ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin sebelum menyambung ke peringkat ijazah sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1999.

Kini, Ismail, 52, yang mesra disapa tuan haji sudah 27 tahun menetap di negara ini bersama isteri dan dua anaknya.

Beliau bukan sahaja mampu memberi kehidupan lebih baik buat ibunya yang sudah berusia 80 tahun di kampung halaman, malah semakin sebati dengan cara hidup dan budaya masyarakat Malaysia.

Ismail bersama isterinya juga berasal dari Lanzhou dan dua anak berusia 14 dan 11 tahun yang dilahirkan di Malaysia, merasakan negara ini sebahagian daripada diri mereka.

Menjadikan beliau lebih bersyukur, sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, membuatkan keluarganya dapat hidup tanpa tekanan.

Restoran Amber milik Ismail Nuh di Bangsar. Foto Fikri Yusof/SELANGORKINI

Lain di tempat asalnya. Sebagai kaum minoriti, tekanan sentiasa ada. Kalau hendak maju dalam perniagaan, akidah menjadi taruhan.

Di sana, kalau hendak pergi jauh dalam perniagaan, sedikit sebanyak perlu libatkan diri dengan arak terutama ketika melayani pegawai kerajaan. Kalau tidak susah hendak maju. Itu belum lagi masuk tekanan lain khususnya dalam soal beribadah.

Buka perniagaan

Ismail yang hampir setahun bertugas sebagai pensyarah di sebuah kolej Islam di Petaling Jaya mula berkecimpung dalam perniagaan kain yang diimport dari negara asalnya di Jalan Masjid India pada 2003.

Beliau menggunakan kelebihannya yang mempunyai ramai kenalan di China selain mengambil kesempatan niaga ketika kebanyakan komuniti peniaga di Malaysia belum ramai mengimport produk dari China.

Malah pada masa itu, laman sesawang beli-belah dalam internet juga belum wujud. Apabila China membuka pasaran, ia mendorong ramai peniaga di Malaysia membawa masuk produk dari negara terbabit sekali gus menyebabkan saingan perniagaan kain semakin sengit.

Sehubungan itu, Ismail beralih dalam perniagaan makanan dengan membuka Restoran Amber yang menyajikan juadah Cina Muslim Lanzhou di Bangsar, Kuala Lumpur pada 2015.

“Kami sajikan makanan asal utara China yang lebih hampir dengan cita rasa Melayu kerana masakan penduduk Lanzhou lebih berempah, pedas dan dimakan panas sebab di sana bentuk muka buminya tinggi dan sejuk.

“Lain pula makanan sebelah selatan, lebih mengutamakan makanan laut dan sup lebih kurang sama macam masakan Cina tempatan di sini. Masing-masing ada keistimewaan tersendiri,” katanya kepada Selangorkini di Restoran Amber, Bangsar.

Mi tarik

Berbeza juadah keluarga Melayu tipikal yang lazimnya terdapat ikan atau ayam dalam menu harian, masyarakat Lanzhou pula mengutamakan sayuran berikutan daerah terbabit kaya dengan tanaman sayur ekoran keadaan iklimnya yang sejuk.

 

Chef sedang menyediakan mi tarik. Foto Fikri Yusof/SELANGORKINI

Selain sayuran, kambing juga menjadi sajian kegemaran masyarakat di Lanzhou sama ada dihidang dengan sup, dipanggang, dijadikan kebab atau direbus.

Hampir kesemua rempah ratus digunakan dalam masakan di Restoran Amber diimport terus dari China.

Paling istimewa restoran milik Ismail menghidangkan mi tarik Lanzhou yang terkenal dikatakan berasal dari wilayah itu.

Membuat mi tarik bukan mudah kerana memerlukan kemahiran tinggi yang mengambil masa lama sebelum betul-betul menguasainya.

Hidangan kuah mi tarik di restorannya menggunakan daging segar dan 15 rempah yang didatangkan dari Lanzhou.

Maka tidak hairanlah Ismail yang turut mahir membuat mi tarik membawa chef yang didatangkan khas dari wilayah berkenaan.

“Kami buat empat jenis mi tarik. Halus selalunya kegemaran orang muda, yang kasar pilihan orang lebih tua, jenis lebar seperti kuetiau dan satu lagi sedikit kecil saiznya bentuk macam daun kucai. Bukan senang mendapatkan bentuk yang dimahukan,” katanya.


Pengarang :