Suasana bazar Ramadan Jalan Kuching yang dipenuhi orang ramai ketika tinjauan pada 4 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Isu makanan tercemar, KKM tingkat pemantauan di bazar Ramadan

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Penguat kuasa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan diarah mempertingkat penguatkuasaan di bazar Ramadan terutama yang mempunyai aduan mengenai pencemaran makanan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata penguatkuasaan juga membolehkan tindakan segera diambil berhubung sebarang aduan berkaitan pencemaran makanan.

“Saya minta pengguna buat aduan sekiranya ada pencemaran makanan supaya pihak berkuasa tempatan yang jaga pasar malam atau bazar itu boleh ambil tindakan terhadap gerai berkenaan dan kementerian boleh turun laksanakan penguatkuasaan,” katanya ketika mengulas isu makanan tercemar yang dibeli pengguna di beberapa bazar Ramadan seperti yang tular baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara First Ambulance Services Sdn Bhd (FAS) dan YTL Communications Berhad (YTLC) bagi menambah baik perkhidmatan kecemasan dalam sektor kesihatan menerusi ‘Yes 5G Smart Ambulance Service.’

MoU itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan FAS Steven Penafort dan Ketua Pegawai Eksekutif YTLC Wing K. Lee.

Khairy turut meminta orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan makanan yang dijual di bazar Ramadan.

“Kalau tidak yakin, mereka boleh tengok, bau dan rasa sebelum makan, ini langkah untuk memastikan makanan yang dibeli tidak tercemar,” katanya.

Beliau juga meminta Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan berhubung kes keracunan akibat makanan tercemar.

-BERNAMA

 


Pengarang :