Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
PBT SELANGOR

Jangkitan denggi di Subang Jaya meningkat lebih 200 kes setakat April

SUBANG JAYA, 20 APRIL: Jumlah kes demam denggi di Subang Jaya meningkat lebih 200 kes berbanding tahun lalu bagi tempoh antara Januari hingga 9 April.

Datuk Bandarnya Dato’ Johary Anuar berkata peningkatan itu membimbangkan walaupun kes di kawasan Subang Jaya adalah terendah di Petaling berbanding Shah Alam dan Petaling Jaya.

“Sehingga minggu Epid 14 iaitu 9 April 2022 terdapat 826 kes demam denggi dilaporkan berbanding 581 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Terdapat tiga lokaliti titik panas (hotspot) denggi telah dikenal pasti iaitu SS19/1, USJ 2/5 dan Taman Pinggiran USJ 1,” katanya selepas mesyuarat penuh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Ibu Pejabat MBSJ di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya menjalankan kerja pemantauan dan pembersihan setiap hari bagi memastikan kes dapat dikurangkan.

“Hasil pemantauan di lokaliti kes demam denggi mendapati banyak tempat pembiakan di lorong belakang dan kita telah menjalankan operasi khas untuk membersihkannya.

“Kita menyeru penduduk untuk luangkan masa 10 minit bagi memeriksa kawasan rumah masing-masing bagi mengelak tempat takungan air yang menjadi kawasan pembiakan nyamuk,” katanya.


Pengarang :