Penguatkuasa JAS Selangor memeriksa kilang pembuatan aluminium terletak di Kuala Selangor pada Mac lalu. Foto JAS Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

JAS Selangor keluar 619 kompaun, kutip hasil RM1.23 juta

SHAH ALAM, 5 APRIL: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengeluarkan 619 kompaun dalam tempoh suku pertama tahun ini atas pelbagai kesalahan membabitkan kutipan sebanyak RM1.23 juta, kata pengarahnya.

Nor Aziah Jaafar dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah itu adalah peningkatan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya iaitu RM362,000 dengan 181 kompaun dikeluarkan.

“Sebanyak 793 premis diperiksa sepanjang suku pertama tahun ini dan 321 notis arahan dikeluarkan selain 15 tindakan mahkamah.

“JAS Selangor sentiasa komited dalam melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas industri-industri tersebut bagi memastikan pematuhan yang tinggi sekali gus dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar,” katanya.

Tambahnya, JAS Selangor turut menjalankan Ops Gempur ke atas industri yang berpotensi tinggi menyebabkan pencemaran terutama di hulu takat pengambilan dan juga premis yang kerap diadukan.

“Pencapaian suku pertama tahun ini menunjukkan peningkatan daripada segi tindakan penguatkuasaan hasil operasi yang dijalankan berbanding suku pertama tahun lalu.

“JAS Negeri Selangor tidak akan berkompromi ke atas pihak industri yang tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya,” katanya.


Pengarang :