Peserta menghadiri temu duga program Jelajah JobCare di Dewan Serbaguna Camelia Seksyen 10, Putra Height, Subang Jaya pada 27 Mac 2022. Foto Facebook Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor
EXCOSELANGOR

Jelajah JobCare bantu lebih 100 individu dapat kerja baharu

SHAH ALAM, 8 APRIL: Seramai 120 daripada 700 individu yang menyertai Jelajah JobCare di tiga daerah negeri ini ditawarkan kerja dalam pelbagai sektor.

Manakala kira-kira 80 peserta pula layak menghadiri temu duga kedua dalam siri jelajah di Klang, Hulu Selangor dan Petaling sejak 25 Februari hingga 26 Mac lalu, kata EXCO pembangunan sosio ekonomi.

“Kebanyakan mereka terdiri golongan berpendapatan rendah yang diterima bekerja dalam sektor perkilangan dan telah memulakan pekerjaan,” katanya V Ganabatirau.

Beliau berkata demikian selepas program Jalinan Ukhuwah dan berbuka puasa bersama 50 keluarga B40 di Hotel Mardhiyyah di sini, semalam.

Ganabatirau menambah inisiatif Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memberi peluang kepada individu yang hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 memperoleh sumber pendapatan baharu.

“Diharap pencari kerja dapat memanfaatkan beberapa lagi siri jelajah yang akan diteruskan pada Mei hingga Jun ini.

“Kita menjangkakan seramai 200 hingga 250 individu hadir ke setiap siri jelajah berkenaan berdasarkan sambutan di tiga kawasan sebelum ini,” katanya.

Jelajah JobCare menawarkan 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini dengan disertai 15 syarikat tempatan dalam pelbagai sektor.

Individu berminat boleh mendaftar melalui pautan https://uppselangor.wixsite.com/my-site.

Berikut lokasi dan tarikh seterusnya Jelajah JobCare

1. Petaling – Dewan Serbaguna Camelia Seksyen 10, Putra Height (7-8 Mei)
2. Sepang – Dewan Taman Gemilang, Dengkil (14 Mei)
3. Hulu Langat – Dewan Demesne (21 Mei)
4. Gombak – Dewan Taman Gombak (4 Jun)
5. Kuala Langat – Dewan Sri Jugra (18 Jun)
6. Sabak Bernam – Dewan Sri Bernam (25 Jun)


Pengarang :