Jemaah menunaikan solat sunat Tarawih tanpa penjarakan fizikal di Masjid Al-Khairiyah Gombak pada 2 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Jemaah syukur kembali tunai solat tarawih seperti biasa di masjid

GOMBAK, 3 APRIL: Jemaah Masjid Al Khairiyah, Taman Seri Gombak di sini bersyukur dapat kembali menunaikan solat tarawih seperti biasa tanpa penjarakan fizikal bermula semalam.

Nazir masjid Wan Nawawi Wan Dagang ketika ditemui berkata selepas dua tahun ini adalah detik bermakna buat umat Islam kerana dapat mengimarahkan masjid ketika Ramadan.

“Pada Ramadan tahun 2020 kita hanya dibenarkan enam orang sahaja membabitkan jawatankuasa masjid, tahun lalu angkanya bertambah kepada 300 jemaah.

“Kali ini kita bersyukur dengan ketetapan baru kita dibenarkan merapatkan saf dan kita berharap umat Islam bukan sahaja di sini tetapi di mana-mana sahaja untuk ambil peluang untuk mengimarahkan masjid,” katanya.

Penjawat awam, Mohd Firdaus Md Jali, 38 mengakui amat gembira dapat menunaikan tarawih di masjid selepas tahun lalu kerap terlepas peluang kerana kapasiti jemaah yang dibenarkan hanya 300 orang.

“Pada mula-mula perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 2020 langsung tak berpeluang jadi saya solat tarawih di rumah sahaja.

“Ada hikmah juga sebenarnya, saya berpeluang menjadi imam dan menghafal beberapa surah,” katanya.

Peniaga, Mohd Yusup Hashim, 62 berkata walaupun dapat menunaikan tarawih di masjid pada 2020 dan 2021 tetapi perasaannya sayu kerana suasana tidak semeriah sebelum pandemik.

“Sebelum-sebelum ini penuh tiba-tiba yang datang untuk solat hanya enam, kemudian 300 orang jadi rasa sayu sangat.

“Alhamdulilah hari ini suasana itu berubah seperti sedia kala, cuma kita harap jemaah dapat menjaga tatacara operasi piawai (SOP) seperti memakai pelitup muka,” katanya.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengumumkan kebenaran solat berjemaah di masjid dan surau dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal berkuat kuasa 1 April.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Shahzihan Ahmad berkata ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.


Pengarang :