Orang ramai keluar membeli barangan keperluan ketika tinjauan di sebuah pasar raya sekitar Kuala Lumpur pada 22 Mei 2021. Foto BERNAMA
SELANGOR

JKNS sita lebih 1,400 produk makanan luput, rosak

SHAH ALAM, 28 APRIL: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) menyita sebanyak 1,407 produk makanan bernilai RM12,413.77 kerana tamat tarikh luput dan rosak dalam Operasi Keselamatan Makanan, pada Isnin dan Selasa lepas.

Pengarah JKN Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata dalam operasi bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) seluruh negeri sempena Aidilfitri itu, sejumlah 42 premis meliputi pasar raya, pasar mini dan kedai runcit telah diperiksa melibatkan pemantauan terhadap 9,681 produk makanan.

“Daripada jumlah produk makanan tersebut, 841 (8.7 peratus) didapati telah tamat tarikh luput manakala 566 (5.8 peratus) dikesan mempunyai bungkusan yang rosak seperti tin kemek dan bekas yang rosak.

“Kesemua produk makanan terlibat telah diarah supaya dialihkan daripada rak pameran jualan untuk disita di bawah Seksyen 4(1)(f) dan persetujuan pelupusan di bawah Seksyen 4(8) Akta Makanan 1983,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sebanyak 12 Notis 32B (notis memerintahkan kehadiran di mahkamah) bagi kesalahan di bawah Peraturan 14(9)(b), Peraturan 14(7) dan Peraturan 35 Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah dikeluarkan.

Selain itu, Dr Sha’ari menasihati pengguna agar sentiasa membaca label pada produk makanan serta memeriksa keadaan bungkusan terlebih dahulu bagi mengelak terbeli produk makanan yang telah tamat tarikh luput atau rosak.

Beliau turut menyarankan pembeli agar menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan premis yang menjual makanan bermasalah di laman web http://fsq.moh.gov.my, Facebook BKKM, di PKD terdekat atau melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA).

-BERNAMA


Pengarang :