Pengunjung membeli juadah berbuka puasa ketika tinjauan di Bazar Ramadan Seksyen 4, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 4 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

JKNS uji sampel makanan bazar Ramadan seluruh negeri, elak keracunan

SHAH ALAM, 6 APRIL: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor  (JKNS) membuat pensampelan makanan kategori berisiko tinggi menyebabkan keracunan di bazar Ramadan bagi menjamin keselamatan pembeli.

Pengarahnya Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata makanan berasaskan santan, daging dan telur diuji bagi mengelakkan berlaku kejadian yang boleh menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan.

“Peniaga disaran memastikan bekalan makanan selamat, menjaga kebersihan diri dan kawasan jualan, tiada risiko pencemaran silang selain memastikan makanan dijual yang disediakan setiap hari bukan memanaskan baki makanan tidak habis dijual.

“Aktiviti pemantauan dan pemeriksaan premis makanan akan dipergiatkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan makanan dijual di bazar Ramadan sentiasa selamat dimakan.

“JKNS juga menyeru peniaga bazar Ramadan memastikan setiap pengendali makanan menghadiri latihan pengendali makanan dan mengambil suntikan anti tifoid,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut menasihati pengunjung bazar Ramadan mengamalkan konsep ‘perhati dan pilih’ sebelum membeli juadah berbuka bagi mengelak keracunan makanan.

Katanya, konsep itu menggalakkan pembeli memerhati dan memilih penjual yang mengendali makanan dalam keadaan bersih serta selamat.

“Konsep ini menggalakkan pembeli untuk memerhati dan memilih penjual yang mengendali serta menjual makanan dalam keadaan yang bersih dan selamat sebelum membeli.

Seterusnya, amalan lihat, hidu dan rasa sebelum makan perlu dijadikan praktis harian sebelum menikmati makanan,”katanya.


Pengarang :