Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengeluarkan kompuan terhadap pemborong yang menjual ayam melebihi harga maksimum pada 5 April 2022. Foto ihsan KPDNHEP Selangor
AGENSISELANGOR

Jual ayam lebih harga maksimum, tiga pemborong dikompaun

SHAH ALAM, 6 APRIL:  Tiga pemborong ayam dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor kerana menjual ayam melebihi harga maksimum.

Pengarahnya berkata tindakan itu dibuat hasil aduan orang awam berhubung kenaikan harga runcit ayam di sesetengah pasar basah dan awam sehingga mencecah RM9.30 sekilogram (per kg) berbanding RM8.90 per kg.

Menurut Muhammad Zikril Azan Abdullah pihaknya membuat pemeriksaan di peringkat pemborong di Klang, Puchong dan Kajang semalam serta mendapati mereka menjual ayam borong melebihi RM7.60 per kg seperti ditetapkan.

“Ketiga-tiga premis ini dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) termasuk kompaun RM1,000 setiap seorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dua daripada tiga premis berkenaan juga gagal mengemukakan dokumen lesen borong menjual barang kawalan (ayam) dan turut disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (ayam) 1996 dan AKB 1961.

“Ingin saya ingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peruntukan perundangan yang dikuatkuasakan di bawah AKHAP 2011 dan AKB 1961,” katanya.

KPDNHEP Selangor turut meminta kerjasama orang ramai membuat aduan jika didapati wujud salah laku dalam kalangan peniaga menerusi saluran aduan rasmi berikut:

i. Whatsapp 019-279 4317
ii. Portal e-aduan.kpdnhep
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel [email protected]
v. Ez ADU KPDNHEP
vi. Bilik Gerakan KPDNHEP Selangor 03-5514 4393/5518 1810/ 5512 5485


Pengarang :