Peniaga Azmi Zainal menyiapkan tempahan pelanggan ketika tinjauan Media Selangor pada Program Jualan Ayam Murah di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan pada 12 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan ayam murah dapat sambutan, peniaga harap inisiatif diteruskan

SERI KEMBANGAN, 5 APRIL: Tawaran RM8 sekilogram di bawah Program Intervensi Harga Makanan Ehsan membantu pembeli mendepani isu kenaikan harga ayam yang didakwa mahal sejak kebelakangan ini.

Peniaga Nazirah Mohd Noor, 50, berkata harga rendah ditawarkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menjimatkan kos pembeli terutama sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal.

Nazirah Mohd Noor. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Harga ini sangat menguntungkan pembeli. Oleh sebab itu jualan saya habis dalam masa kurang dua jam pada hari biasa manakala hujung minggu  hanya 30 minit.

“Malah, kebanyakan pembeli seronok dan berterima kasih apabila dapat tahu harga ayam yang saya jual lebih murah. Diharap program ini diteruskan bagi meringankan beban orang ramai,” katanya ditemui di Pasar Borong Selangor di sini hari ini.

Nazirah yang mengusahakan perniagaan itu sejak lebih 20 tahun lalu berkata kerjasama berkonsepkan menang-menang dengan PKPS sejak Februari lalu memberi keuntungan kepada semua pihak.

“Kami (peniaga) tidak rugi apa-apa, apatah lagi pembeli. Mereka (PKPS) beri subsidi sewa premis berdasarkan jumlah jualan ayam dan selebihnya untung yang kami peroleh,” katanya.

Azmi Zainal. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Seorang lagi peniaga Azmi Zainal, 54, berkata ramai pembeli telah mengetahui inisitiaf dilaksanakan PKPS sehingga menyebabkan jualan ayam habis dalam tempoh kurang dua jam setiap hari.

“Saya buka tawaran dari jam 8 pagi, tidak sampai jam 12 sudah habis. Itu belum lagi pada Sabtu dan Ahad, sehinggakan ada pelanggan yang marah kerana cepat habis.

“Namun kuota ditetapkan hanya untuk 29 pembeli dengan maksimum dua ekor ayam, maka kita terpaksa maklumkan kepada pelanggan. Cuma saya berharap inisiatif seperti ini diteruskan lagi selepas raya,” katanya.

Kerajaan Selangor menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram bermula 7 Februari lalu bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjualan 50,000 ekor ayam dijalankan di Wisma PKPS dan Pasar Borong Selangor, yang turut diperluas ke seluruh negeri berikutan sambutan baik.

 


Pengarang :