Pengunjung membeli ayam segar dalam program jualan murah di Wisma PKPS, Shah Alam pada 7 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jualan ayam murah di empat lokasi hujung minggu ini

SHAH ALAM, 14 APRIL: Program Jualan Prihatin Rakyat akan berlangsung di empat lagi lokasi pada hujung minggu ini.

Pada Sabtu, program tersebut diadakan di Dataran Tonggak 9, Sungai Besar dan Pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan.

Manakala, pada Ahad pula di tapak aktiviti Persatuan Penduduk Taman Jenaris, Kajang dan di depan Kompleks Penghulu Mukim Hulu Langat, Pekan Batu 14, Hulu Langat.

Keempat-empat program berkenaan bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan pengunjung boleh membeli ayam pada harga RM12 seekor dengan berat anggaran tidak kurang dua kilogram.

“Selain ayam, PKPS juga tawarkan daging, ikan dan minyak masak murah buat anda. Penduduk sekitar lokasi jualan, jangan lepaskan peluang ini,” menurut agensi itu menerusi Facebook.

Program jualan murah diadakan setiap hujung minggu dengan menyasarkan 64 kawasan di seluruh Selangor bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Pada 27 Februari, Kerajaan Negeri memutuskan menjual empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan pada harga murah sehingga menjelang Aidilfitri menerusi program Jualan Prihatin Rakyat.

Program pada setiap Sabtu dan Ahad secara berkala di seluruh negeri adalah kesinambungan inisiatif jualan murah yang dilancar Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada awal Februari lalu.


Pengarang :