Orang ramai membeli pelbagai barangan keperluan pada program Jualan Prihatin Rakyat di pekarangan Dewan Orang Ramai Kampung Padang Jawa, Shah Alam pada 10 April 2022. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan mega ayam murah mulai 29 April, ringan beban sedia keperluan raya

SHAH ALAM, 10 APRIL: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengadakan program jualan murah barangan asas secara besar-besaran sebelum Syawal antara 29 April hingga 1 Mei.

Inisiatif Jualan Prihatin Rakyat meliputi ayam, telur, daging, ikan dan sayur-sayuran dengan kuantiti ditawarkan lebih banyak, kata pengurus besar perniagaan dan pemasarannya.

“Kita bersetuju menganjurkan jualan mega selama tiga hari berturut-turut pada Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan harga sama ditawar seperti program di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang.

“Kelainannya kali ini kita sediakan 2,000 ekor ayam dan 2,000 papan telur setiap hari berbanding 500 ekor ayam dan 500 papan telur ketika ini,” kata Rosnani Abdul Malek kepada Selangorkini.

Beliau menambah lokasi sesuai sedang dikenal pasti dengan mengambil kira aspek tumpuan ramai terutama golongan berpendapatan rendah (B40) sebelum diumumkan di media sosial.

“Kita juga menyeru kepada pihak berkuasa tempatan, pejabat DUN dan pemimpin setempat supaya dapat membantu mempromosikan program ini nanti,” kata Rosnani lagi.

Program Jualan Prihatin Rakyat diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100kg daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B turut dijual sepanjang program berkenaan.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

 


Pengarang :