Orang ramai membeli barangan keperluan asas menerusi program Jualan Prihatin Rakyat di pekarangan pusat khidmat masyarakat DUN Sekinchan pada 16 April 2022. Foto SHEEDA FATHIL/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan mega di enam lokasi mulai 28 April, tawar banyak barang asas murah

SEKINCHAN, 16 APRIL: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan mengadakan program jualan murah barangan asas secara besar-besaran di enam lokasi menjelang Syawal.

Pengurus Pemasarannya Md Saad Mahsah berkata lokasi tersebut adalah di Tanjung Sepat, Batang Kali, Kampung Pandan, Stadium Shah Alam, Stadium Sungai Besar dan Padang Sungai Tua.

Pengurus Pemasaran PKPS Md Saad Mahsah. Foto SHEEDA FATHIL/ SELANGORKINI

“Setakat ini, itu antara lokasi yang kita cadangkan untuk membuat jualan mega selama tiga hari berturut-turut pada 28, 29 dan 30 April sebelum tiba Hari Raya Aidilfitri.

“Kita menganjurkan jualan mega yang menawarkan lebih banyak bekalan asas untuk persediaan juadah raya seperti daging, ayam, lengkuas dan serai,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas meninjau program Jualan Prihatin Rakyat di pekarangan pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan di sini, hari ini.

Inisiatif Jualan Prihatin Rakyat Mega itu meliputi ayam, telur, daging, ikan dan sayur-sayuran dengan kuantiti ditawarkan lebih banyak sehingga mencecah ribuan jumlah berbanding ratusan sahaja sebelum ini.

Program Jualan Prihatin Rakyat diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100kg daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B turut dijual sepanjang program berkenaan.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).


Pengarang :