Orang ramai membeli barang keperluan harian pada program Jualan Prihatin Rakyat di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya pada 12 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Jualan mega tawar banyak produk murah, ringan beban sedia juadah raya

SUBANG JAYA, 22 APRIL: Orang ramai disaran memanfaatkan Karnival Jualan Mega Prihatin pada minggu depan dengan membeli barangan keperluan asas murah untuk persiapan juadah Aidilfitri.

Ketua pegawai eksekutif kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata jualan selama tiga hari menawarkan barangan antaranya minyak masak paket, bawang, sayuran serta produk industri kecil sederhana.

“Selalunya program ini jual ayam, ikan, daging dan telur sahaja tetapi sempena Syawal, kita tambah produk lain dengan harga murah dan berpatutan bagi meringankan beban belanja rakyat.

“Bekalan di setiap lokasi mencukupi dan mampu menampung permintaan. Jadi kita seru penduduk sekitar lokasi jualan datang membeli keperluan raya mereka,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi pada majlis berbuka puasa bersama media di sini, hari ini.

Program jualan murah barangan keperluan asas secara besar-besaran menjelang Aidilfitri dianjurkan di tujuh lokasi pada 28 hingga 30 April, jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Karnival Jualan Mega Prihatin bermula di Dataran Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat pada 28 April diikuti keesokannya di tapak lapang sebelah Petronas, Batang Kali.

Jualan mega diteruskan pada 30 April di lima lokasi iaitu Dewan Jalan H, Kampung Pandan; Jalan Pandan 8, Pandan Jaya; Padang Awam Batu Caves, Gombak; Stadium Shah Alam dan Stadium Sabak Bernam.

Menerusi inisiatif itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

Bermula 27 Februari, Kerajaan Negeri mengadakan program Jualan Prihatin Rakyat pada setiap hujung minggu di 64 kawasan bagi meringankan beban susulan kenaikan harga barang.


Pengarang :