Orang ramai membeli barangan keperluan harian segar melalui Program Jualan Prihatin Rakyat di Balai Rakyat Taman Berjaya, Sabak Bernam pada 27 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Jualan murah barang keperluan asas diteruskan di Sijangkang, Shah Alam esok

SHAH ALAM, 1 APR: Program Intervensi Ehsan yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga rendah diteruskan lagi esok di Sijangkang dan Shah Alam mulai jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Dato’ Menteri Besar berkata orang ramai khususnya penduduk setempat dipelawa mengunjungi lokasi terbabit iaitu Blok 7, perkarangan Pangsapuri PKNS, Seksyen 7, Shah Alam dan kawasan lapang, Jalan Sekolah Batu 9, Kebun Baru, Sijangkang.

“Minggu ini, Program Intervensi Ehsan akan ke Shah Alam dan Sijangkang. Penduduk berdekatan digalakkan berkunjung bagi mendapatkan barangan keperluan yang dijual pada harga lebih rendah dari pasaran,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Berdasarkan poster dikongsi beliau, orang ramai boleh membeli ayam segar seekor pada harga RM12, telur (RM10), daging segar (RM35/kg), ikan kembung, selayang (RM8/kg) dan minyak masak paket (RM2).

Pada 27 Februari, Kerajaan Negeri memutuskan menjual empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan pada harga murah sehingga menjelang Aidilfitri menerusi program jualan prihatin rakyat.

Program pada setiap Sabtu dan Ahad secara berkala di seluruh negeri adalah susulan program intervensi harga makanan ehsan yang dilancar Dato’ Menteri Besar awal Februari lalu.

Sebanyak 62 lokasi sudah dikenal pasti bagi tujuan berkenaan iaitu 24 di bawah Selangor Agro Market manakala selebihnya di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

 


Pengarang :