Orang ramai membeli barangan keperluan pada program Jualan Prihatin Rakyat di pekarangan Dewan Orang Ramai Kampung Padang Jawa, Shah Alam pada 10 April 2022. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah barangan asas di empat lokasi hujung minggu ini

SHAH ALAM, 12 APRIL : Orang ramai boleh mendapatkan bekalan barangan asas pada harga lebih murah melalui program Jualan Prihatin Rakyat di empat lagi lokasi pada hujung minggu ini.

Pada Sabtu, program tersebut akan diadakan di Dataran Tonggak 9, Sungai Besar dan Pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan.

Manakala, pada Ahad pula di tapak aktiviti Persatuan Penduduk Taman Jenaris, Kajang dan di depan Kompleks Penghulu Mukim Hulu Langat, Pekan Batu 14, Hulu Langat.

Keempat-empat program berkenaan bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Program jualan murah diadakan setiap hujung minggu dengan menyasarkan 64 kawasan di seluruh Selangor bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 per kilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

Pada 27 Februari, Kerajaan Negeri memutuskan menjual empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan pada harga murah sehingga menjelang Aidilfitri menerusi program Jualan Prihatin Rakyat.

Program pada setiap Sabtu dan Ahad secara berkala di seluruh negeri adalah kesinambungan inisiatif jualan murah yang dilancar Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada awal Februari lalu.


Pengarang :