Orang ramai membeli barang keperluan asas menerusi program Jualan Prihatin Rakyat anjuran PKPS di Taman Jenaris, Kajang pada 17 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINIOTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jualan murah barangan asas di empat lokasi Sabtu dan Ahad ini

SHAH ALAM, 20 APRIL: Program Jualan Prihatin Rakyat yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga murah diteruskan di empat lokasi hujung minggu ini.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan program pada Sabtu bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari di hadapan Kedai PLB, Parit 1, Sungai Sireh, Tanjong Karang dan pekarangan pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang.

Manakala pada Ahad dalam waktu sama di Kedai Anggerik Maju, Kampung Tanjung Siam, Kuala Selangor dan tempat letak kereta bersebelahan Masjid Kota Raja, Klang.

“Jom semua kepada penduduk di sekitar lokasi jualan, jangan lepaskan peluang jimat berganda-ganda ini,” menurut perbadanan itu melalui Facebook hari ini.

Program Jualan Prihatin Rakyat diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100 kilogram(kg) daging segar, 6,200 kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B turut dijual sepanjang program berkenaan.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).


Pengarang :