Orang ramai membeli barangan keperluan asas menerusi program Jualan Prihatin Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Taman Jenaris, Kajang pada 17 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah dapat sambutan menggalakkan, PKPS sedia teruskan selepas Aidilfitri

SUBANG JAYA, 22 APRIL: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sedia meneruskan program Jualan Prihatin Rakyat selepas Aidilfitri berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata perkara itu bergantung kepada keputusan Kerajaan Negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita tunggu arahan. Sekiranya infrastruktur, bekalan, logistik dan kewangan mencukupi program ini mungkin diteruskan.

“Namun setakat ini berdasarkan perbincangan program ini hanya dilaksanakan sehingga menjelang Aidilfitri bagi meringankan beban perbelanjaan rakyat,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama media di sini semalam.

Bermula 27 Februari, Kerajaan Negeri mengadakan program Jualan Prihatin Rakyat pada setiap hujung minggu di 64 kawasan bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Menerusi inisiatif itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100 kilogram(kg) daging segar, 6,200 kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B dijual sepanjang program berkenaan.

 


Pengarang :