Orang ramai membeli barangan keperluan harian dalam program Jualan Prihatin Rakyat di Desa Mentari, Petaling Jaya pada 9 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah dapat sambutan, pembeli harap pelbagaikan jenis barang

PETALING JAYA, 9 APRIL: Orang ramai berharap jenis barangan keperluan harian menerusi program Jualan Prihatin Rakyat dapat dipelbagaikan bagi membantu mendepani kenaikan harga.

Pengunjung Choo SM, 50, berkata Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) wajar mempertimbangkan jenis ikan dijual selain ayam dan daging.

Choo SM. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya memuji program jualan murah seperti ini tetapi saya cadangkan kerajaan untuk jual lebih banyak jenis ikan pada harga yang murah kerana harga di luar agak mahal,” katanya kepada SelangorKini.

Padangan sama dikongsi Noraini Hussin, 69, yang berharap jenis barangan jualan ditambah bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pembeli.

“Saya bersyukur ada program seperti ini, cuma saya cadangkan tambah satu atau dua lagi jenis barang jualam. Saya semangat datang seawal jam 7.30 pagi, rupanya tersalah maklumat program mula jam 9.30,” katanya.

Subdin Omar Din. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Penjawat awam Subdin Omar Din, 48, berkata program berkenaan membolehkannya membeli minyak, ayam, telur dan sayur dengan kos bawah RM50.

“Memang murah sangat harga barangan keperluan di sini jika dibandingkan tempat lain. Terima kasih Kerajaan Negeri dan PKPS yang sentiasa cakna dengan nasib rakyat ketika harga barang melonjak,” katanya.

Manakala, Norazizah Aziz, 53, berkata dia sudah pun membeli barangan dapur semalam tetapi tetap mengambil peluang untuk beli ayam di program jualan murah tersebut.

Norazizah Aziz. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya dapat tahu ayam di sini murah tanpa fikir panjang terus beli, boleh buat tambahan lauk untuk berbuka nanti,” katanya yang bercadang untuk memasak sambal ayam.

Program bermula 9.30 pagi hingga 1 tengah hari itu diadakan di dua lokasi iaitu di Padang Permainan Desa Mentari dan pekarangan Medan Selera Seksyen 8, Petaling Jaya.

Jualan Prihatin Rakyat anjuran PKPS diadakan setiap hujung minggu dengan menyasarkan 64 kawasan di seluruh Selangor bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.


Pengarang :