Program Jualan Prihatin Rakyat di Desa Mentari, Petaling Jaya pada 9 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPS: Jualan murah di DUN Seri Setia, Bukit Gasing sasar perolehan RM40,000

PETALING JAYA, 9 APRIL: Program Jualan Prihatin Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan DUN Bukit Gasing hari ini, menyasarkan hasil jualan berjumlah RM40,000.

Program bermula 9.30 pagi hingga tengah hari itu diadakan di dua lokasi iaitu di Padang Permainan Desa Mentari dan pekarangan Medan Selera Seksyen 8, Petaling Jaya, di sini.

Penolong Pengurus Pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohd Hasri Abu Hassan berkata sasaran itu mampu dicapai kerana lokasi jualan strategik serta berdekatan kawasan perumahan.

“Sambutan amat memberangsangkan malahan ada juga pelanggan yang tiba lebih awal daripada waktu jualan bermula tetapi kita minta mereka menunggu untuk barangan disusun terlebih dahulu.

“Rata-rata pelanggan juga turut memuji dan berharap program jualan murah seperti ini dilaksanakan pada setiap hari,” katanya kepada SelangorKini.

Program jualan murah dikendalikan PKPS diadakan setiap hujung minggu dengan menyasarkan 64 kawasan di seluruh Selangor bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Menerusi inisiatif itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 per kilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

Pada 27 Februari, Kerajaan Negeri memutuskan menjual empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan pada harga murah sehingga menjelang Aidilfitri menerusi program Jualan Prihatin Rakyat.

Program pada setiap Sabtu dan Ahad secara berkala di seluruh negeri adalah kesinambungan inisiatif jualan murah yang dilancar Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada awal Februari lalu.


Pengarang :