Orang ramai membeli barangan keperluan asas menerusi program Jualan Prihatin Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Taman Jenaris, Kajang pada 17 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPS: Jualan murah 3 hari berturut mulai 28 April, empat lokasi sehari

KAJANG, 17 APRIL: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menggandakan jumlah barangan program jualan murah barangan asas secara besar-besaran menjelang Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata jualan mega mulai 28 hingga 30 April antara usaha memastikan lebih ramai mendapat manfaat untuk persiapan juadah raya.

“Contohnya kita akan bawa 2,000 papan telur dan 1,000 ayam tiga hari berturut-turut pada 28, 29 dan 30 April. Kita beri peluang orang ramai untuk membeli barangan keluaran PKPS sempena raya.

“Malah, kita juga menambah lokasi jualan mega kepada empat lokasi setiap hari berbanding dua lokasi ketika ini,” katanya.

Beliau ditemui pada program Jualan Prihatin Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di tapak aktiviti Persatuan Penduduk Taman Jenaris di sini, hari ini.

Tambah Mohamad Khairil, antara lokasi awal dikenal pasti untuk program jualan mega ialah di Shah Alam, Sungai Tua, Sabak Bernam, Pandan, Morib dan Tanjung Sepat.

“Insya-Allah kita akan kemas kini program jualan murah dari semasa ke semasa kerana permintaan banyak. Kita akan laksanakan sebaik mungkin demi manfaat rakyat,” katanya.

Pada 27 Februari, Kerajaan Negeri memutuskan menjual empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan pada harga murah menerusi program Jualan Prihatin Rakyat.

Program diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bertujuan mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang dan inisiatif ini dianjurkan sehingga menjelang perayaan Aidilfitri.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100kg daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B turut dijual sepanjang program berkenaan.

Menerusi inisiatif itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

Penjual Mohd Arif Aiman Ahmad Azli sedang menyusun telur ketika program Jualan Prihatin Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Taman Jenaris, Kajang pada 17 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :