Pendakwah terkenal Dr Ridhuan Tee Abdullah membeli barang keperluan asas bagi membuat persiapan raya pada Karnival Jualan Mega Prihatin di Kampung Pandan, Ampang Jaya pada April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah ringan beban rakyat, Ridhuan Tee puji usaha Selangor

AMPANG, 30 APRIL: Pendakwah terkenal Dr Ridhuan Tee Abdullah turut mengambil peluang membeli keperluan raya pada Karnival Jualan Mega Prihatin di Kampung Pandan hari ini.

Antara barangan dibeli ialah ayam, daging, telur, sayur-sayuran dan beberapa barangan kering lain yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran.

Menurut Ridhuan, program berkenaan merupakan kunjungan ketiganya bagi mendapatkan keperluan asas yang disifatkan berbaloi dan meringankan beban rakyat.

“Ketika musim perayaan, memang sesuai diadakan kerana membantu ringankan beban belanja. Harap diteruskan pada masa akan datang,” katanya ditemui di Dewan Serbaguna Jalan H di sini.

Pendakwah terkenal Dr Ridhuan Tee Abdullah turut serta membeli barang keperluan asas bagi membuat persiapan raya pada Karnival Jualan Mega Prihatin di Kampung Pandan, Ampang Jaya pada April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, suri rumah Faridah Sidek, 63, berkata jualan berkenaan memudahkan penduduk mendapat semua keperluan untuk menyediakan juadah raya.

Dia turut memuji lokasi jualan yang strategik di kawasan terbuka sekali gus boleh mengelakkan penularan Covid-19 menjelang hari raya.

“Datang sini semua benda boleh dapat. Ayam, daging, bawang, serai. Tidak perlu pergi tempat lain. Lokasi juga bagus, tidak perlu bersesak macam pasar raya,” katanya.

Bagi warga emas Rosmah Ibrahim, 67, inisiatif itu membantu mengurangkan kos perbelanjaan hariannya, malah turut menghargai agihan baucar RM10 yang diterima.

“Harga jualan murah dari pasar biasa. Memang dapat jimat lagi-lagi terima baucar RM10. Terima kasih Kerajaan Negeri bantu rakyat,” katanya.

Karnival Jualan Mega Prihatin turut diadakan serentak hari ini di Padang Awam Batu Caves, Stadium Shah Alam dan Stadium Sabak Bernam.

 


Pengarang :