EXCO Infrastruktur dan Pertanian YB Ir Izham Hashim meninjau Pasar Tani Seksyen 13, Shah Alam selepas sesi sidang media khas Karnival Jualan Mega Prihatin. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah sempena Aidilfitri di 29 lokasi bermula esok

SHAH ALAM, 24 APRIL: Jualan murah barangan asas secara besar-besaran akan bermula esok sehingga 2 Mei di 29 lokasi seluruh Selangor, kata EXCO pemodenan dan asas tani.

Ir Izham Hashim berkata Jualan Prihatin Rakyat sempena Aidilfitri menawarkan 23,200 ayam segar, 23,200 kilogram(kg) daging pejal, tulang lembu (16,700kg), telur ayam gred B (18,200 papan), minyak masak paket (25,200 kg) serta 1,500kg ikan selayang dan kembung (QFish).

Menurutnya inisiatif itu membabitkan kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah).

EXCO Infrastruktur dan Pertanian YB Ir Izham Hashim bercakap kepada media ketika sesi sidang media khas Karnival Jualan Mega Prihatin di Pasar Tani Seksyen 13, Shah Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Program ini adalah lanjutan daripada Jualan Prihatin Rakyat yang dianjurkan sejak Februari lalu bertujuan meringankan beban penduduk memandangkan Aidilfitri akan menjelang tidak lama lagi.

“Kita menjangkakan seramai 50,000 rakyat Selangor akan menikmati manfaat ini dengan setiap seorang diberi subsidi antara RM10 hingga RM11,” katanya hari ini.

Bercakap pada sidang media di Pasar Tani Seksyen 13 di sini hari ini, beliau turut memaklumkan sebanyak RM1.1 juta dibelanjakan untuk menjayakan program selama seminggu itu.

“Peruntukan Kerajaan Negeri di bawah portfolio saya adalah sebanyak RM800,000 manakala RM300,000 lagi daripada MBI,” katanya.

Program Jualan Prihatin Rakyat dilancar pada 28 Februari lalu diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

 

Berikut senarai lokasi dan tarikh program Jualan Prihatin Rakyat Mega:

Jualan Prihatin Rakyat PKPS (10 pagi hingga 1 tengah hari)

– Dataran Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat (28 April)
– Tapak bersebelahan Petronas, Bandar Utama, Batang Kali (29 April)
– Dewan Jalan H, Kampung Pandan (30 April)
– Jalan Pandan 8, Pandan Jaya (30 April)
– Padang Awam Batu Caves, Gombak (30 April)
– Stadium Shah Alam (30 April)
– Stadium Sabak Bernam (30 April)

Selangor Agro Market (SAM) Pra Syawal dan Pasar Tani (7 pagi hingga 12 tengah hari)

– Pekarangan Tempat Letak Kereta Mahkamah Ampang (29 April)
– Pasar Tani Taman Sri Andalas, Klang (30 April dan 2 Mei)
– Pasar Tani Bandar Baru Salak Tinggi (30 April)
– Pasar Tani Seksyen 6, Kelana Jaya (30 April)
– Pasar Tani Kota Kemuning (30 April)
– Pasar Tani Saujana Utama, Sungai Buloh (30 April)
– Pasar Tani Seksyen 17, Shah Alam (30 April dan 2 Mei)
– Pasar Tani Taman Melawati (30 April)
– Pasar Tani Sungai Kapar Indah, Klang (30 April)
– Pasar Tani Tapak MAHA, MAEPS (30 April)
– Pasar Tani Jenaris (30 April)
– Pasar Tani Kekal Puchong (30 April hingga 1 Mei)
– SAM @ Masjid Jamek As-Solihin, Kanchong Darat (30 April)
– SAM @ Pusat Operasi FAMA Dengkil (30 April hingga 1 Mei)
– SAM @ Taman Cempaka, Pandan Indah (1 Mei)
– Pasar Tani Dataran Puchong Permai (1 Mei)
– Pasar Tani Kampung Melayu Subang (1 Mei)
– Pasar Tani Kota Damansara (1 Mei)
– Pasar Tani Putra Heights, Subang Jaya (1 Mei)
– Pasar Tani LNK 1 Bandar Baru Bangi (1 Mei)
– Pasar Tani Stadium Shah Alam (1 Mei)

Tapak Pasar Ko-Hijrah (1 lokasi) (4 petang hingga 8 malam)

– Tapak Pasar Malam, Berjaya Park, Seksyen 32 Shah Alam (25, 27, 29 April)


Pengarang :