Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran meninjau program Jualan Prihatin Rakyat di Medan Selera Seksyen 8, Petaling Jaya pada 9 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jualan murah: Wakil rakyat cadang anjur lebih kerap, jimat belanja keluarga

PETALING JAYA, 9 APRIL: Wakil rakyat Bukit Gasing mencadangkan program Jualan Prihatin Rakyat dilaksana secara kerap bagi memudahkan rakyat membeli barangan keperluan hari dengan harga murah.

R Rajiv berkata pihaknya menerima maklum balas dalam kalangan pengunjung yang meminta Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mempertimbangkan cadangan tersebut.

“Kita mengucapkan terima kasih kerana mengadakan program seperti ini yang sudah tentu membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih murah.

“Rata-rata pengunjung yang saya temui berharap jualan murah ini diadakan sekerap yang boleh atau mungkin setiap hari kerana inisiatif ini amat membantu golongan kurang berkemampuan,” katanya kepada SelangorKini.

Program bermula 9.30 pagi hingga 1 tengah hari itu diadakan di dua lokasi hari ini, iaitu di Padang Permainan Desa Mentari dan pekarangan Medan Selera Seksyen 8, Petaling Jaya.

Jualan Prihatin Rakyat anjuran PKPS diadakan setiap hujung minggu dengan menyasarkan 64 kawasan di seluruh Selangor bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Menerusi inisiatif itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 per kilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

Pada 27 Februari, Kerajaan Negeri memutuskan menjual empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan pada harga murah sehingga menjelang Aidilfitri menerusi program Jualan Prihatin Rakyat.

Program pada setiap Sabtu dan Ahad secara berkala di seluruh negeri adalah kesinambungan inisiatif jualan murah yang dilancar Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada awal Februari lalu.


Pengarang :