Peniaga Azmi Zainal, 53, menyiapkan tempahan pelanggan ketika tinjauan Media Selangor pada Program Jualan Ayam Murah di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan pada 12 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Jualan Prihatin Rakyat Tanjung Sepat tawar ayam RM10 seekor

SHAH ALAM, 26 APRIL: Jualan Prihatin Rakyat sempena Aidilfitri di Tanjung Sepat pada Khamis ini menawarkan harga ayam dan telur lebih rendah daripada kebiasaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Borhan Aman Shah berkata dua barangan itu diberikan subsidi RM2 menjadikan harga ayam RM10 seekor manakala telur RM8 sepapan.

“Sepatutnya seekor ayam dijual RM12 dan telur RM10. Memandangkan sambutan sebelum ini menggalakkan, jadi kita mahu bantu ringankan beban penduduk.

“Tambahan lagi Aidilfitri bakal menjelma. Penduduk mesti beli bekalan dalam kuantiti yang banyak untuk raya. Inisiatif ini dapat meringankan kos belanja mereka,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Borhan berkata bagi memastikan urusan pembelian berjalan lancar, pihaknya menyediakan 10 kaunter bayaran yang diuruskan ketua kampung.

“Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan membantu. Kita tidak mahu pembeli menunggu lama dan keadaan menjadi sesak.

“Kali ini kita sediakan 1,000 ekor ayam, 1,000 papan telur dan satu tan daging. Ada juga barangan keperluan lain dijual termasuk ikan dan sayuran,” katanya.

Sejak semalam sehingga 2 Mei, Kerajaan Negeri mengadakan jualan murah barangan asas secara besar-besaran di 29 lokasi.

EXCO permodenan dan asas tani Ir Izham Hashim berkata sebanyak 23,200 ayam segar, 23,200 kilogram(kg) daging pejal, tulang lembu (16,700kg), telur ayam gred B (18,200 papan), minyak masak paket (25,200 kg) serta 1,500kg ikan selayang dan kembung (QFish) ditawarkan sepanjang program.

Inisiatif dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari membabitkan kerjasama PKPS, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad.


Pengarang :