Keadaan aliran trafik Plaza Tol Gombak arah Lebuhraya Pantai Timur bergerak perlahan ketika tinjauan fotoBernama berikutan orang ramai mula pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri pada 30 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah kenderaan dijangka meningkat di laluan Jeli-Grik hari ini

JELI, 30 APRIL: Jumlah kenderaan memasuki Kelantan melalui laluan Jeli-Grik, Perak akan meningkat lima hingga 10 peratus berbanding hari biasa sebelum ini, menjelang musim perayaan Aidilfitri.

Ketua Polis Jeli Supt Ahmad Ariffin berkata hal ini berikutan rata-rata perantau dari negeri ini yang berada di bahagian utara iaitu Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak mula bercuti hari ini.

“Kesesakan di laluan ini dijangka berlaku seminggu sebelum dan seminggu selepas Aidilfitri,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang, di sini semalam.

Ahmad menasihati semua pengguna jalan raya agar mengikuti peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Anggota kami sentiasa bersiap siaga untuk sebarang penugasan dalam mengawal lalu lintas dan menghadapi kesesakan luar biasa yang bakal berlaku di pintu masuk kawasan ini.

“Kita turut mendapat kerjasama daripada pasukan penguat kuasa yang lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk sama-sama membantu mengawal aliran trafik serta menjaga keselamatan pengguna di jalan raya,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :